Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Malaysia perlu sedia ambil risiko terhitung, tempa masa depan ekonomi baharu: Tengku Zafrul | Scoop

Malaysia perlu sedia ambil risiko terhitung, tempa masa depan ekonomi baharu: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul berkata hasil yang paling mampan sentiasa mengambil masa untuk dilaksanakan namun, sama ada suka atau tidak, perubahan luaran akan berlaku

4:40 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu bersedia untuk mengambil risiko yang terhitung ketika menempa masa depan ekonomi baharu bagi negara ini, terutama dalam ekonomi digital dan ekonomi hijau, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata perkara itu adalah antara tiga penekanannya untuk 2024 dalam menjadikan pelaburan dan perdagangan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Kedua, kita mesti melaksanakan rancangan kita dengan tepat. 2024 adalah tahun penting untuk kita terus maju di atas asas yang telah dibina tahun lepas.

“Ketiga, kita mesti kekal di laluan yang telah dirangka, tidak kira betapa sukarnya cabaran. Kita juga perlu menjelaskan inisiatif serta rasionalnya secara konsisten kepada rakyat, di samping manfaat kepada mereka dalam jangka masa panjang,” katanya menerusi catatan ‘2024: Masa Untuk Bersemangat Waja’ di akaun media sosial rasminya pada Ahad.

Beliau berkata dalam menyambut kehadiran Tahun Baharu 2024, penting untuk mengimbau dan mengambil iktibar daripada cabaran tahun lepas.

“2023 adalah tahun yang penting bagi MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) dalam membentuk masa depan ekonomi yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan untuk Malaysia bagi semua aspek: pelaburan, perdagangan dan industri,” katanya.

Tengku Zafrul berkata hasil yang paling mampan sentiasa mengambil masa untuk dilaksanakan namun, sama ada suka atau tidak, perubahan luaran akan berlaku.

Justeru, Malaysia mesti memastikan industrinya bersedia lebih awal supaya tidak terkemudian, dan MITI akan terus berada di landasan, katanya.

Beliau menegaskan bahawa rakyat Malaysia memerlukan pemikiran radikal (pemikiran moonshot) iaitu perlu yakin dalam mencapai sesuatu yang di luar jangkaan biasa, seperti penyelesaian radikal berdasarkan teknologi terbaharu bagi menyelesaikan masalah yang kelihatan mustahil untuk diatasi.

“Azam Tahun Baharu saya adalah untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia berfikiran sebegini, dan meyakinkan mereka untuk terus berbuat demikian.

“Matlamat kita adalah untuk memperkukuh masa depan ekonomi Malaysia, dengan belia kita mempunyai pekerjaan dengan gaji yang berpatutan, dan syarikat mencapai keuntungan berlipat ganda,” katanya. – 7 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related