KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan parti pimpinannya itu tetap akan berperanan sebagai ‘semak dan imbang’ di dalam sistem demokrasi negara memandangkan tiada seorang pun Ahli Parlimen berketurunan Cina di blok pembangkang bagi menjalankan peranan berkenaan ketika ini.
Penegasan beliau itu sebagai membidas kenyataan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang mendakwa MCA agak ‘sesat’ apabila ditanya mengenai hubungan DAP dan MCA dalam Kerajaan Perpaduan.
Malah Ka Siong menganggap kenyataan Teresa menerusi wawancara bersama sebuah akhbar itu dibuat secara ‘membabi buta’.
Beliau memberikan beberapa contoh isu-isu rakyat yang disuarakan MCA antaranya kecacatan sistem MyJPJ, SuperApp AirAsia, telur import dari India, caj QR Code DuitNow serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dikenakan ke atas perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari (TCM) yang mendapat reaksi positif kerajaan.
“Sebagai Ahli Parlimen, saya sentiasa bersuara sama ada di dalam atau di luar Dewan Rakyat. Meskipun saya perlu menegur kementerian tentang sesuatu dasar, ia adalah demi kebaikan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, MCA juga menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan menyokong Kerajaan Perpaduan biarpun tidak terlibat di dalam penggubalan dasar di peringkat kementerian atau Kabinet.
“Peranan MCA di Parlimen tetap sebagai ‘semak dan imbang’ di dalam sistem demokrasi. Lagi pun, pada ketika ini, tiada pula Ahli Parlimen keturunan Cina dari blok pembangkang untuk memberi semak dan imbang.
“Kalau bukan MCA, siapa lagi? Apa jua dasar baik kerajaan yang memanfaatkan rakyat, MCA pasti akan sokong 100 peratus manakala bagi dasar yang memberi impak negatif kepada rakyat jelata, MCA rasa terpanggil untuk bersuara meskipun DAP memandang remeh hanya dua orang wakil MCA di dalam Dewan Rakyat,” katanya.
Ka Siong menambah, Teresa dan sekutunya boleh terus ‘membisu’, tetapi apa jua isu berkaitan rakyat dan negara, ia adalah hak dan tanggungjawabnya untuk bersuara.
“Sila hormati dan raikan perbezaan pandangan serta kebebasan bersuara. Mengenai soalan berbunyi ‘adakah sukar untuk MCA berdamai dengan DAP dan rasa tidak senang berada di dalam kerajaan yang sama?’, jawapan saya mudah saja kerana soal tidak wujud perdamaian atau hanya sekadar persepsi puak DAP.
“Jika DAP nak melihat MCA membisu dalam semua isu dan menjadi ‘pak turut’ dalam semua perkara, barulah MCA dianggap ‘berdamai dengan DAP’? Maaf ya, MCA akan terus menegur dengan cara konstruktif dan tidak akan menjadi pak turut semata-mata,” tegas beliau.
Dalam wawancara bersama sebuah akhbar, Teresa mendakwa MCA agak ‘sesat’ dan melihat Ka Siong hanya ‘tengok’ (kritik) Anthony Loke. – 7 Januari, 2024