KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan penjaja di sekitar Taman Tasik Titiwangsa sudah beredar dari lokasi berkenaan, sejurus tindakan penguatkuasaan dijalankan pihaknya pada Jumaat lalu.
Menerusi platform X, DBKL berkata, perkara itu disahkan selepas pihaknya menjalankan tinjauan susulan di kawasan berkenaan, malam tadi.
DBKL turut berkongsi tiga foto memaparkan laluan di tepi jalan di situ yang sebelum itu menjadi tapak perniagaan penjaja, sudah ‘kosong’ daripada aktiviti jualan golongan terbabit.
“Tinjauan susulan sudah dilaksanakan dan penjaja beredar dari lokasi sekitar Taman Tasik Titiwangsa,” katanya.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengeluarkan kenyataan terbabit susulan perkongsian segelintir pengguna media sosial X yang mendakwa gerai penjaja muncul semula di situ, sehari selepas DBKL melaksanakan aktiviti penguatkuasaan, kelmarin.
Tinjauan susulan telah dilaksanakan dan penjaja telah beredar dari lokasi sekitar Taman Tasik Titiwangsa.l https://t.co/wEP0zL14nc pic.twitter.com/fGMMwsVwxK
— Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (@DBKL2u) January 6, 2024
“Baru je semalam, DBKL sita gerai-gerai peniaga haram di Tasik Titiwangsa, hari ini mereka datang semula.
“Kita doakan yang terbaik buat Menteri Wilayah baru, Dr Zaliha Mustafa. Bukan mudah nak pulihkan sistem yang sudah berpuluh tahun rosak,” kata seorang pengguna.
“Baru saja pergi petang tadi. Macam tak ada effect (kesan) pun lepas kena rush (gempur). Peniaga masih selamba berniaga di tempat parkir. DBKL please do something about this (tolong buat sesuatu mengenai perkara ini). Nak cari parking (parkir) pun susah,” tulis seorang individu menerusi ciapannya semalam.
Baru saja pergi ptg tadi. Mcm tak ada effect pun lepas kena rush. Peniaga masih selamba berniaga di tempat parking kereta. @DBKL2u please do something about this. Nak cari parking pun susah. https://t.co/kyS5wJgQss pic.twitter.com/btsNILerqt
— Dawlat Filasṭīn 🇵🇸 (@ajmalashburn) January 6, 2024
Pada Jumaat lalu, DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan dengan kerjasama Pejabat Cawangan Setiawangsa, menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas penjaja di sekitar Jalan Kuantan dan Jalan Tembeling, Taman Tasik Titiwangsa bermula jam 10 malam.
Operasi khas itu diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Noor Azman Mahlin dengan kekuatan 51 orang petugas.
Pemeriksaan itu dilaksanakan susulan isu dan permasalahan berkaitan aktiviti perniagaan dan penjajaan membabitkan penjualan makanan, minuman, kendera saji, peralatan mainan serta aktiviti penyewaan basikal dan kenderaan beroda (tuk-tuk).
DBKL membuat tindakan sita dan pindah barangan ke atas 14 buah kenderaan beroda (tuk-tuk), selepas pemilik gagal mempamerkan lesen atau permit bagi membina atau membuat stor penyimpanan sementara di tempat awam.
Tindakan penguatkuasaan khas itu dijalankan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
Pada masa sama, DBKL memaklumkan, pihaknya akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan susulan selepas ini, bagi memastikan semua aktiviti perniagaan yang mendapat lesen kelulusan dan kebenaran sahaja dibenarkan beroperasi di sekitar kawasan Taman Tasik Titiwangsa.
Sekiranya masih ada penjaja ingkar arahan semasa, tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas akan dilakukan.
Barangan dan peralatan disita dalam operasi itu, dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL untuk rekod penyimpanan sementara serta dokumentasi.
Isu membabitkan penjaja yang semakin ramai, bak ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ mendapat perhatian masyarakat tempatan, termasuk mereka yang ke situ untuk aktiviti rekreasi dengan rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati dan ‘terganggu’.
Mereka mendakwa, ia bukan sahaja memburukkan pemandangan dan menyukarkan pengunjung mencari petak parkir memandangkan penjaja menjalankan perniagaan di situ, malah terdapat peniaga warga asing mengendalikan premis. – 7 Januari, 2024