KUALA LUMPUR – Mayat seorang wanita ditemukan tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki dalam tong sampah di longkang dekat tepi jalan di Kampung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, mangsa dipercayai dibunuh dengan anggota badannya iaitu kepala, tangan dan kaki dipotong sebelum disumbat dalam tong sampah dan dibuang ke longkang di tepi jalan berkenaan.
Katanya, mayat tidak cukup anggota badan dan tanpa pakaian serta identiti itu ditemukan pada 31 Disember lalu, kira-kira jam 2 petang.
“Pada 31 Disember lalu, kita telah menerima maklumat awam berkenaan penemuan mayat dalam tong sampah yang dibuang di dalam longkang.
“Ekoran maklumat yang diterima, polis telah menjalankan siasatan bersama Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Hospital Alor Gajah.
“Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Melaka bagi mengetahui sebab kematian dan identiti mayat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Arshad memberitahu, pihak polis menyeru mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga terdekat mahupun individu yang dikenali atau mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh menyalurkannya dengan menghubungi balai polis berhampiran.
Katanya, maklumat boleh juga disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06-5562222 atau Pegawai Penyiasat Kanan, Deputi Superintenden Mohd Ali Hanafiah Hasim (019-9536277. – 6 Januari, 2024