Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Majikan terkait isu eksploitasi pekerja asing di Pengerang disenarai hitam | Scoop

Majikan terkait isu eksploitasi pekerja asing di Pengerang disenarai hitam

Susulan insiden sekumpulan warga asing berjalan beramai-ramai menuju balai polis untuk buat laporan tidak diberikan pekerjaan

3:11 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia telah menyenarai hitam majikan yang terkait isu eksploitasi pekerja asing di Pengerang, Johor, bulan lalu, daripada permohonan penggajian pekerja asing baharu di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955.

Ini susulan insiden sekumpulan warga asing berjalan beramai-ramai di Pengerang, yang dikatakan menuju ke Balai Polis Bayu Damai untuk membuat laporan polis berikutan tidak diberikan pekerjaan oleh majikan terlibat.

Tindakan menyenarai hitam itu ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dalam kenyataan bersama hari ini.

Selain itu, majikan terlibat juga dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Malah majikan itu juga dikenakan tindakan di bawah Akta Kerja 1955 dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 yang memperuntukkan penalti am yang jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 bagi setiap kesalahan kerana mengabaikan pekerja dari segi bayaran gaji dan tidak menyediakan penginapan kondusif.

Kedua-dua menteri tersebut menegaskan, pihak kementerian telah membatalkan surat kelulusan bersyarat yang dikeluarkan kepada majikan dengan pulangan bayaran levi dan turut menyenarai hitam majikan daripada sebarang urusan di Jabatan Imigresen termasuk pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi pekerja sedia ada.

Tindakan lain adalah membatalkan kuota pekerja asing majikan yang masih berbaki serta melaksanakan naziran dan inspektorat kepada majikan-majikan yang telah membawa masuk pekerja asing melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing.

Menurut kenyataan bersama itu, tindakan-tindakan tersebut diambil bagi memastikan majikan-majikan melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap pekerja asing.

Kenyataan itu menambah, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam kes eksploitasi pekerja asing yang membawa kepada amalan buruh paksa dan pemerdagangan orang.

“Pada 28 Disember lalu, Kementerian Sumber Manusia telah bertindak dan memanggil majikan yang terlibat untuk satu sesi yang dihadiri Kementerian Dalam Negeri; Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jabatan Perdana Menteri; Majlis Keselamatan Negara Negeri Johor, Kementerian Dalam Negeri; Jabatan Imigresen; Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia.

“Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia juga telah bertemu pada 3 Januari lalu untuk mencari jalan penyelesaian terhadap kes-kes pengabaian dan eksploitasi pekerja asing ini dan merangka penambahbaikan aspek pengurusan pekerja asing demi memastikan isu tersebut dapat ditangani dengan tuntas dan holistik.

“Kedua-dua menteri turut memutuskan agar beberapa tindakan jangka masa pendek dan panjang termasuk menambah baik akta dan dasar yang sedia ada dilaksanakan segera bagi memperkasakan pengurusan pekerja asing dengan fokus terhadap hak dan kebajikan pekerja,” katanya.

Menurut kenyataan bersama itu, Mesyuarat Khas Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing juga akan diadakan pada 16 Januari ini khusus untuk membincangkan permasalahan tersebut dan seterusnya mencadangkan kepada Kabinet status pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing serta langkah-langkah penambahbaikan tatakelola pengurusan penggajian pekerja asing dalam negara.

“Tindakan dan usaha ini adalah selaras dalam memastikan isu berhubung penggajian pekerja asing ditangani tanpa kompromi demi kedaulatan undang- undang negara,” katanya.

Pada 26 Disember lalu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora mengesahkan penahanan 171 pekerja asing warga Bangladesh kerana menimbulkan kegusaran awam selepas dirakam berjalan kaki beramai-ramai di kawasan depan simpang dekat Teluk Ramunia Bayu Damai, Kota Tinggi.

Katanya, sepasukan polis dihantar ke lokasi kejadian bagi pemeriksaan lanjut susulan laporan polis dibuat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung kejadian tersebut. – 6 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related