KUALA LUMPUR – Dilaporkan keluar dari rumahnya di Bukit Beruntung, Selangor sejak 19 Oktober lalu, sehingga kini ‘misteri’ kehilangan remaja orang kurang upaya (OKU) berusia 17 tahun, Muhammad Khairul Ridzuan Rosdizan masih belum terjawab.
Kali terakhir remaja tersebut keluar rumah memakai kemeja-T berwarna biru tua, seluar panjang berwarna gelap, corak petak dan memakai selipar hitam.
Pelbagai usaha dijalankan termasuk bantuan polis bagi mengesan remaja berkenaan selepas ibunya datang ke Balai Polis Bukit Sentosa pada jam 5.30 petang bagi membuat laporan kerana kehilangan anaknya pada 19 Oktober lalu.
Sehingga 22 Oktober, Muhammad Khairul masih tidak pulang ke rumah.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, hasil siasatan, remaja tersebut merupakan OKU (masalah pembelajaran).
“Pihak polis masih mengesan dan mencari remaja yang hilang itu dan sehingga hari ini dia masih tidak ditemukan. Usaha mengesan masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Muhammad Khairul diminta tampil membantu pihak polis dengan menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60651021.
Katanya, orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Siti Zulaikha Mohamed di talian 03-606641222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – 5 Januari, 2024