KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant menggariskan beberapa cadangan untuk tadbir urus Gaza pada masa hadapan sebaik sahaja perang antara Israel dan Hamas berakhir.
Menurutnya, pemerintahan Palestin amat terhad di wilayah itu dengan Hamas tidak lagi akan mengawal Gaza dan Israel akan mengekalkan kawalan keselamatan secara menyeluruh.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata, pertempuran di Gaza berterusan dengan puluhan nyawa terkorban dalam tempoh 24 jam lalu.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dijangka kembali ke rantau itu minggu ini.
Beliau dijangka mengadakan perbincangan dengan pegawai Palestin di Tebing Barat yang diduduki dan pemimpin Israel.
Lawatan beliau dilakukan di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di rantau itu berikutan pembunuhan pemimpin tertinggi Hamas, Saleh al-Arouri di Beirut, Lubnan pada Selasa lalu.
Saleh maut bersama pengawal peribadinya dalam serangan dron oleh Israel, yang berikrar untuk memusnahkan Hamas selepas serangan 7 Oktober yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel.
Mesir juga akan mempunyai peranan yang tidak ditentukan di bawah perancangan tersebut.
Tetapi berdasarkan dokumen perancangan itu, rakyat Palestin akan diberi tanggungjawab untuk mengendalikan wilayah itu.
“Penduduk Gaza adalah warga Palestin, oleh itu agensi di Palestin akan bertanggungjawab, dengan syarat tidak akan ada tindakan bermusuhan atau ancaman terhadap Israel,” kata Gallant.
Perbincangan mengenai “perancangan selepas perang” di Gaza membawa kepada perselisihan faham yang meruncing di Israel.
Beberapa pemimpin sayap kanan kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, rakyat Palestin harus digalakkan untuk meninggalkan Gaza dan mewujudkan semula penempatan Yahudi di wilayah itu.
Walaupun cadangan Galant mungkin dianggap lebih praktikal berbanding beberapa rakan Kabinetnya, ia berkemungkinan ditolak pemimpin Palestin yang mahu rakyat Gaza dibenarkan untuk mengendalikan sepenuhnya wilayah itu.
Netanyahu bagaimanapun tidak bercakap secara terbuka mengenai pendapatnya berhubung perkara itu. – 5 Januari, 2024