KUALA LUMPUR – Tandas sekolah di seluruh negara yang sudah dinaik taraf dijangka tidak berdepan masalah untuk penyelenggaraan dalam tempoh terdekat ini.
Presidennya Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkait tandas yang sudah berwajah baharu, kembali dirosakkan atau vandalisme.
“Ada sekolah yang mana tandas mereka baharu sahaja siap dinaik taraf, setakat ini tidak ada aduan berkait masalah tandas yang baharu itu diterima.
“Malah kerajaan dah bagi peruntukan besar bagi tujuan itu, saya rasa kalau yang siap dalam tempoh terdekat ini tidak ada isu tentang penyelenggaraan sebab masih baharu lagi.
“Namun untuk penyelenggaraan jangka panjang, dari masa ke semasa memang kerajaan sediakan peruntukan bagi penyelenggaraan bukan sahaja untuk tandas tapi keseluruhan sekolah setiap kali bajet,” katanya kepada Scoop hari ini.
Aminuddin berkata, selepas tandas sekolah, kerajaan wajar mempertimbangkan menaik taraf bilik guru untuk keselesaan guru bekerja.
“Bila habis waktu mengajar, bilik guru itu tempat dia bekerja. Jadi untuk kesejahteraan guru, perkara itu perlu.
“Rata-rata sekolah keadaan bilik guru tidak berapa selesa, sesak, tiada penghawa dingin.
“Begitu juga dengan aspek kerusi dan meja yang perlu dinaik taraf serta keperluan komputer yang mencukupi untuk melaksanakan kerja selepas mengajar di kelas,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad berkata, apa yang lebih penting adalah material tandas sekolah perlulah bersifat ‘heavy duty‘ (tahan lasak), tahan karat dan mudah diganti dengan barang gantian pada kadar murah.
Katanya, malah menjadi prinsip asas bagi murid untuk memastikan tandas sekolah bersih dan kemas manakala semua peralatan seperti sinki, paip, pam tandas, pintu dan lampu berfungsi dengan baik untuk kegunaan.
“Lubang tandas juga mestilah tidak tersumbat. Paling utama, bekalan air bersih mestilah sentiasa mencukupi di tandas sekolah,” katanya.
Beliau berkata, bilangan murid yang menggunakan tandas juga ramai, yang mana ada menggunakannya dengan pelbagai cara termasuk secara tertib dan kasar.
“Lebih membimbangkan, katanya, ada yang terlibat dengan aktiviti vandalisme di tandas.Sebab itu, ketahanan material menjadi kriteria utama untuk digunakan di tandas sekolah.
“Harapnya tandas yang cantik akan bertahan selama yang boleh. Janganlah kerana ‘banyak tangan’ nanti ada pula kepala paip yang patah, sinki yang pecah atau cermin muka yang retak walaupun baru sahaja digunakan,” katanya.
Julai tahun lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) memberi tempoh tiga bulan kepada setiap sekolah untuk menjalankan projek naik taraf dan selenggara tandas kerja penyelenggaraan tandas sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek dilapor berkata, sebanyak RM70,000 peruntukan diagihkan kepada setiap sekolah di seluruh negara.
Sebaik tandas sekolah dinaik taraf, ramai murid yang teruja kerana ada reka bentuk berkonsepkan tandas di hotel serta hentian rehat dan rawat (R&R). – 5 Januari, 2024