KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan Perdana Menteri memecat Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Ismail Yusop kerana individu terbabit dianggap tidak ‘cerdik’ dan ‘kurang arif’ dalam mengeluarkan kenyataan.
Beliau berkata, ia terbukti apabila Ismail memberikan maklumat tidak benar berhubung perincian mengenai komplot dinamakan Langkah Dubai yang didakwa bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan, sehingga ia mencetuskan kegemparan.
“Saya mencadangkan PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) pecat Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) dan suruh dia kerja kat mana-mana, nak suruh dia berhenti kerja pun kesian juga, sat lagi nak cari makan kat mana.
“Tapi untuk pegang satu jawatan dengan mewujudkan kegemparan adalah satu pendekatan yang tak cerdik, satu perbuatan tidak wajar,” katanya menerusi video dimuat naik di media sosial.
Beliau berkata, hakikatnya Langkah Dubai bukan isu besar, tetapi individu terbabit ‘memanaskannya’ dengan mengeluarkan kenyataan tanpa memberitahu siapa pemberi maklumat, walaupun ia sepatutnya perlu dilakukan bagi membuktikan kesahihannya.
Shahidan berkata, tindakan ‘kurang arif’ Ismail juga dapat dilihat apabila beliau meminta Perdana Menteri supaya mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kumpulan mewujudkan Langkah Dubai itu, dengan menyifatkannya sebagai usaha atau gerakan pengkhianatan untuk menggulingkan kerajaan Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, permintaan Ismail itu menunjukkan beliau tidak membaca Perlembagaan Persekutuan.
“Beliau ini tiba-tiba menunjukkan kegemparan kepada rakyat Malaysia, kononnya ada satu usaha untuk jatuhkan kerajaan, maka tergempar habis orang.
“Jadi kalau Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) cakap macam ini, agensi kerajaan cakap macam ini, jadi rosak rakyat Malaysia. Bagi seorang yang pegang satu jawatan dan mewujudkan kegemparan adalah satu pendekatan tak cerdik, satu perbuatan tidak wajar,” katanya.
Selain itu, Shahidan berpendapat, kenyataan dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa pihaknya menerima laporan perisikan berkaitan Langkah Dubai dan ia adalah gerakan membuang masa dan tidak mengesankan Kerajaan Perpaduan, sebagai ‘istilah salah’.
Menurut bekas Menteri Besar Perlis itu, pemberi laporan kepada Ahmad Zahid tidak sepatutnya digelar ‘perisik’, sebaliknya hanya penyampai maklumat.
Ujarnya, risik adalah sesuatu yang dibuat khusus untuk mendapatkan matlamat tertentu.
“Kalau dapat risik saya pun dapat risik, risik saya bagitahu hari ini bahawa hujan lebat mungkin berlaku di sebuah negeri kerana awan yang hitam sedang mengelilingi negeri berkenaan, kalau nak kata risik lah.
“Bagi saya itu bukan risik, ini penyampai maklumat dan saya nak tanya Timbalan Perdana Menteri, risik siapa, berapa banyak dah risik bagitahu, risik pun bukan semua betul,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Ismail mendakwa wujud komplot Langkah Dubai didalangi pemimpin parti pembangkang bersama beberapa ahli parti politik kerajaan, dengan matlamat menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Langkah Dubai, katanya, timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan daripada pihak kerajaan itu di ibu kota UAE berkenaan, baru-baru ini.
Pertemuan itu didakwa berlangsung untuk berunding, selain menetapkan tugas tertentu kepada ‘pegawai’ yang dipertanggungjawab mengenal pasti ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’.
Selain pemimpin PN, beliau mendakwa ada pembabitan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang, termasuk dikatakan menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran Anwar.
Mengulas perkara itu, Perdana Menteri berkata, beliau tidak ambil pusing terhadap rancangan segelintir pihak menerusi komplot Langkah Dubai yang disifatkan tidak menjejaskan Kerajaan Perpaduan.
Anwar berkata, fokus Kerajaan Perpaduan ketika ini ialah menjalankan tanggungjawab dan tugas demi kepentingan rakyat.
Manakala, Ahmad Zahid mengakui menyedari rancangan sulit itu untuk menggugat kedudukan kerajaan, namun menyifatkan usaha terbabit hanya membuang masa.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno itu berkata, sebarang langkah menukar kerajaan menerusi akuan bersumpah (SD) bukan satu cara yang baik. – 3 Januari, 2024