KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad sudah mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kewujudan akaun palsu menggunakan identiti beliau di Facebook.
Katanya, aduan rasmi yang dibuat pagi tadi, bertujuan membolehkan tindakan lanjut diambil pihak berkuasa terhadap penyalahgunaan identitinya yang boleh mengelirukan orang ramai.
“Tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mewujudkan akaun palsu menggunakan identiti Menteri Kesihatan dengan tujuan yang meragukan sangat dikesali.
“Satu aduan rasmi kepada MCMC dibuat pagi ini untuk tindakan lanjut pihak berkuasa terhadap penyalahgunaan identiti yang boleh mengelirukan orang ramai,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, pengguna media sosial diminta mengabaikan sebarang penglibatan daripada penama akaun berkenaan serta-merta.
“Sila abaikan sebarang ‘engagement’ daripada penama akaun berkenaan serta-merta bagi mengelakkan sebarang kebocoran dan penyalahgunaan maklumat,” katanya.
Terdahulu, wujud akaun Facebook menggunakan nama Dzulkefly Ahmad dengan gambar profil pemimpin itu.
Akaun memiliki maklumat diri Dzulkefly sebagai Menteri Kesihatan, Ahli Parlimen Kuala Selangor dan Pengarah Strategik Parti Amanah Negara itu memiliki 54 pengikut setakat ini.
Hantaran pertama akaun itu dibuat tahun lalu dan pada 25 Disember, 2023, ia mengemaskini gambar profil Dzulkefly bersama bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.
Facebook rasmi milik Dzulkefly menggunakan gambar beliau seorang dengan 94,000 pengikut sehingga kini. – 3 Januari 2024