KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan akan memanggil seorang bekas Perdana Menteri dan dua pembantu bagi menyiasat tiga kes berasingan melibatkan dakwaan penyelewengan dana.
Dua pembantu berkenaan, lapor FMT yang memetik sumber, pernah berkhidmat untuk dua Perdana Menteri.
“Tiga individu akan dipanggil minggu ini,’’ kata sumber tersebut.
Siasatan tersebut akan memfokus mengenai kekayaan yang didakwa dikumpul oleh isteri dan anak seorang bekas pegawai tertinggi manakala satu lagi disiasatan dikaitkan dengan sebuah syarikat petroleum.
“Siasatan ketiga berkaitan wang dibelanjakan untuk tujuan pengiklanan,’’ katanya.
Sementara itu, Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang Ahli Parlimen dan dua orang kanannya mungkin dipanggil SPRM bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 serta Akta SPRM 2009.
Siasatan ke atas tiga individu menyusul susulan siasatan SPRM terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zanuddin.
SPRM sebelum ini mendedahkan, siasatan pihaknya terhadap Daim berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram, dibuat berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora, dengan penyiasatan dimulakan sejak Februari lalu.
Menurutnya, satu Notis mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) diserahkan kepada Daim supaya mengisytiharkan segala aset.
Pengisytiharan itu, katanya, termasuk aset di dalam dan luar negara secara bertulis serta akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis pada 7 Jun lalu.
Daim dikatakan memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan diberikan masa pada 6 Julai; 10 Ogos; 11 September; 11 Oktober dan terakhir pada 14 November lalu untuk berbuat demikian.
Terdahulu, Daim dilaporkan menafikan beliau dan keluarganya terbabit dalam rasuah atau sebarang salah laku, sebaliknya mendakwa siasatan terhadapnya bermotifkan politik.
Bagaimanapun, SPRM menegaskan dakwaan Daim kononnya siasatan kes beliau menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada masyarakat tidak tepat. – 1 Januari, 2024 – 1 Januari, 2024