Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
PM Anwar lancar sistem Padu esok | Scoop

PM Anwar lancar sistem Padu esok

Pelaksanaan Padu adalah bagi meningkatkan kecekapan pengurusan yang memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai sumber

11:09 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melancarkan Pangkalan Data Utama (Padu), iaitu sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), esok.

Majlis yang bermula 8.30 pagi hingga 2 petang itu, melibatkan pembentangan mengenai Padu oleh Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan forum bertajuk ‘Memacu Peralihan Melalui Padu’, sebelum Anwar dijadual merasmikan sistem berkenaan pada 12.15 tengah hari.

Kementerian Ekonomi dalam laman Facebook memaklumkan, sistem Padu akan dibuka secara rasmi kepada seluruh rakyat Malaysia usai majlis pelancaran berkenaan.

Objektif Padu ialah sebagai penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan hampir masa sebenar, yang membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan serta penggubalan dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data, selain membolehkan pelaksanaan dasar secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal.

Maklumat profil akan diperoleh melalui pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai sumber dan sebahagiannya akan dikemas kini oleh individu.

Pelaksanaan Padu adalah bagi meningkatkan kecekapan pengurusan yang memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai sumber.

Ia juga bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan Padu, bagi membolehkan perkhidmatan lebih baik dan cekap disampaikan kepada rakyat.

Selain pemantauan dan penilaian berkesan terhadap pelaksanaan dasar negara, Padu yang merupakan pangkalan data yang berintegrasi dan berpusat mampu menjimatkan sumber secara signifikan.

Semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal Padu, serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan. – 1 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related