KUALA LUMPUR – Penduduk sebuah pangsapuri baru di sini, menyambut Tahun Baharu 2024 dalam ketakutan dan kegelapan, malah beberapa individu terperangkap dalam lif serta di unit tingkat atas kediaman mereka.
Ia susulan gangguan bekalan elektrik di seluruh bangunan Razak City Residences di Sungai Besi itu, sehingga turut mengakibatkan operasi lif terhenti.
Beberapa individu terperangkap dalam lif selama kira-kira 30 minit sebelum diselamatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi.
Menerusi arahan diberikan kepada penduduk, jurucakap bomba menasihatkan mereka supaya tidak menggunakan lif sehingga diberitahu kelak.
Situasi itu menyebabkan penghuni tingkat atas di empat menara pangsapuri setinggi 48 tingkat berkenaan, terperangkap di unit pangsapuri mereka apabila hanya tangga menjadi satu-satunya laluan ke bawah.
Dipercayai ribuan orang terjejas kerana keseluruhan kompleks itu mempunyai 1,700 unit pangsapuri serta unit komersial di tingkat bawah. Kompleks itu mempunyai 5,748 unit yang keseluruhannya ditempatkan di 12 menara.
Pembeli unit mula berpindah masuk ke situ sejak kira-kira tiga bulan lalu.
Bekalan elektrik terputus kira-kira pukul 11.25 malam ketika penduduk bersiap sedia menyambut tahun baharu.
Difahamkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang menangani masalah itu.
Menurut seorang penduduk, Dr M Salem yang menetap di tingkat 40, kejadian itu adalah gangguan bekalan elektrik pertama dialaminya sejak berpindah dua bulan lalu ke situ.
“Tiada sesiapa daripada pihak pengurusan yang memberi maklum balas, tetapi kami mempunyai jawatankuasa penduduk yang sangat proaktif dan menghubungi Jabatan Bomba dan TNB.
“Ini bukan satu pembangunan yang biasa-biasa kerana setiap unit melebihi RM500,000,” katanya.
Dr Salem menambah, walaupun lampu kecemasan dinyalakan, setiap unit juga perlu dipasang dengan kemudahan itu.
“Sekurang-kurangnya semua unit mempunyai balkoni untuk membantu menangani masalah pengudaraan,” katanya.
Perkembangan kejadian ini akan menyusul – 1 Januari 2024