Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Saya tidak tahu Langkah Dubai: Mursyidul Am PAS | Scoop

Saya tidak tahu Langkah Dubai: Mursyidul Am PAS

Katanya, isu kewujudan langkah jatuhkan kerajaan adalah perkara biasa yang ditimbulkan banyak pihak sebelum ini

9:53 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin memaklumkan, beliau tidak mengetahui mengenai dakwaan wujud komplot Langkah Dubai dalam kalangan pemimpin pembangkang bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Ketika dihubungi Scoop, Hashim berkata, beliau juga langsung tidak tahu-menahu ada pertemuan antara beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) untuk rancangan itu di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Maklumat tu (Langkah Dubai) saya sendiri tak dapat sebarang maklumat, jadi saya tak nak komen, saya tak boleh komen, saya tak tahu.

“Perkara ini perkara biasa yang ditimbulkan banyak pihak sebelum ini, termasuk yang membabitkan PAS,” katanya.

Hashim berkata, PAS tidak akan melakukan sesuatu gerakan melainkan benda dilaksanakan itu akan mendatangkan kebaikan kepada masyarakat.

“Tapi soal Langkah Dubai saya tidak tahu,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-kom), Datuk Ismail Yusop mendakwa terdapat komplot Langkah Dubai yang didakwa didalangi pemimpin parti pembangkang, termasuk beberapa ahli parti politik kerajaan, dengan matlamat menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Ismail berkata, Langkah Dubai timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan PN dan daripada pihak kerajaan itu di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.

Pertemuan itu didakwa berlangsung untuk berunding, selain menetapkan tugas tertentu kepada ‘pegawai’ yang dipertanggungjawab untuk mengenal pasti ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’.

Selain pemimpin PN, beliau mendakwa ada pembabitan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang, termasuk dikatakan menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Anwar.

Melabelkan tindakan itu sebagai pengkhianatan, Ismail berkata, cubaan menjatuhkan kerajaan adalah konspirasi politik berniat jahat yang boleh mengancam kedaulatan dan keselamatan negara.

“Pada pendapat saya, (Anwar) mesti segera mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ketua Polis Negara dan pihak berkuasa untuk menyiasat individu yang terbabit secara langsung (dalam Langkah Dubai),” katanya. – 30 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Related