KUALA LUMPUR — Tindakan pembangkang cuba menjatuhkan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan orang kanannya, Tun Daim Zainuddin.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam, Daim yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, dikatakan sanggup membelanjakan ratusan juta ringgit untuk ‘membeli’ Ahli Parlimen kerajaan.
“Terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa Daim sanggup membelanjakan RM750 juta untuk membeli lebih 15 Ahli Parlimen (kerajaan).
“Daim bersama (Dr) Mahathir. Kedua-dua mereka sangat terdesak. Kedua-dua mereka tidak mahu masuk penjara atau menjadi sebahagian daripada kluster mahkamah,” kata Lokman kepada Scoop hari ini.
Selain itu, Lokman yang juga Pengarah Komunikasi Umno menegaskan, walaupun Langkah Dubai adalah benar, namun tidak mungkin percubaan itu akan menubuhkan pentadbiran baharu atau Perdana Menteri daripada kem pembangkang.
“Saya yakin 100 peratus bahawa langkah itu akan gagal.
“Mereka hanya boleh menggunakan sokongan Ahli Parlimen untuk mereka menggulingkan Perdana Menteri sekarang, tetapi walaupun mereka berjaya ‘membeli’ Ahli Parlimen kerajaan sehingga mereka mempunyai sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen (untuk mendapatkan majoriti mudah Dewan Rakyat), mereka masih tidak boleh membentuk kerajaan,” katanya.
Sambil menegaskan bahawa pelantikan Perdana Menteri lain mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Lokman berkata, pihaknya berharap Anwar akan menjadi Perdana Menteri terakhir yang mengangkat sumpah di bawah pentadbiran baginda.
“Jika Daim sanggup membelanjakan sejumlah besar wang untuk (‘membeli’) Ahli Parlimen sebelum beliau berjaya mendapatkan restu Agong, saya anggap itu benar-benar bodoh,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Masyarakat, Datuk Ismail Yusop menerusi hantaran di Facebook berkata, Langkah Dubai dimulakan semasa percutian beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan pegawai kerajaan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ketika lawatan ke luar negara itu, satu mesyuarat didakwa diadakan untuk memberikan tugas tertentu kepada orang yang bertanggungjawab mengenal pasti Ahli Parlimen kerajaan yang mungkin beralih sokongan kepada pembangkang, dengan dorongan dan membuka laluan kepada penubuhan kerajaan pintu belakang.
Ismail berkata, selain pemimpin PN, Daim dan Dr Mahathir turut bersekongkol dengan pembangkang, selain didakwa menggunakan ‘sumber asing dan tempatan’ untuk melaksanakan agenda mereka.
“Dikatakan ada jurucakap yang mempunyai akses kepada pemimpin pembangkang di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak cuba memainkan naratif bahawa kerajaan Madani akan tumbang pada awal 2024, dengan tarikh sudah diberikan.
“Nampaknya Dr M (Mahathir), Daim, PN dan rakan-rakan mereka menggunakan semua sumber mereka (dari) dalam dan luar kerajaan untuk menjatuhkan Anwar.
“Mereka semua begitu bersemangat untuk ‘menyerang’ kerajaan Anwar,” katanya.
Melabelkan tindakan itu sebagai pengkhianatan, Ismail berkata, cubaan menjatuhkan kerajaan adalah konspirasi politik berniat jahat yang boleh mengancam kedaulatan dan keselamatan negara.
“Pada pendapat saya, (Anwar) mesti segera mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ketua Polis Negara dan pihak berkuasa untuk menyiasat individu yang terbabit secara langsung (dalam Langkah Dubai),” katanya.
Beliau juga mengesyorkan Perdana Menteri menghentikan matlamat Daim dan Dr Mahathir serta mendedahkan semua salah laku mereka kepada umum. – 30 Disember, 2023