KUALA LUMPUR — Tiga penuntut institusi pengajian tinggi dan seorang remaja berusia 15 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Temerloh kerana menunggang secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) pada Ahad lalu.
Tertuduh, Ammar Muizzuddin Abdul Aziz, 19; Wan Muhammad Syahmi Wan Zulkififli, 20, dan Mohamad Haiqal Mohd Hanafi, 22 tahun adalah penuntut institusi pengajian tinggi, manakala seorang lagi tertuduh adalah pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Temerloh, bagaimanapun tidak mengaku salah di hadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil.
Video aksi ‘Superman’ mereka ketika menunggang di LPT1 itu telah tular di media sosial, beberapa hari lalu.
Kesalahan didakwa dilakukan kira-kira jam 6.30 petang, 24 Disember lalu di Kilometer 127 LPT1 arah timur, sini.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga lima tahun dan denda hingga RM15,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zaffar dan semua tertuduh diwakili Khairul Anuar Abu Hasan Ashaari.
Rabu lalu, Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mazlan Hassan berkata polis sedang menyiasat video tular yang memaparkan aksi berbahaya sekumpulan penunggang motosikal melakukan gaya “superman” sehingga menyebabkan berlaku kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).
Menurut Mazlan, pihaknya telah mengesan rakaman video berdurasi 28 saat berkenaan yang tular menerusi media sosial pada 10 pagi tadi.
Beliau berkata kejadian terbabit didapati berlaku di KM 127 arah timur LPT 1 pada Ahad lepas dan dirakam sendiri oleh seorang daripada penunggang motosikal berkenaan. – 29 Disember, 2023