Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Penduduk Kg Setia Jaya boleh tetap duduk sehingga penempatan semula selesai: Dr Zaliha | Scoop

Penduduk Kg Setia Jaya boleh tetap duduk sehingga penempatan semula selesai: Dr Zaliha

Penduduk kampung berdepan pengusiran selepas mahkamah memerintahkan mereka mengosongkan rumah dalam tempoh 18 bulan, selepas mendapati Yayasan Pendidikan TARC adalah pemilik sah tanah berkenaan.

5:49 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Yayasan Pendidikan Kolej Tunku Abdul Rahman (TARC) tidak ada halangan untuk membenarkan penduduk untuk terus tinggal di Kg Setia Jaya, Setapak, sementara isu penempatan semula mereka selesai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan wakil Yayasan Pendidikan TARC, sambil memaklumkan beliau positif dan isu terbabit diyakini dapat diselesaikan dengan baik.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan penduduk kampung di Kg Setia Jaya mengosongkan rumah awal bulan ini dan memberi tempoh 18 bulan kepada mereka untuk berbuat demikian, selepas mendapati Yayasan Pendidikan TARC adalah pemilik sah tanah di mana kampung itu dibangunkan.

Susulan keputusan itu, penduduk di situ juga mendakwa mereka diusir secara tidak adil dan tidak diberi pampasan secara berbaloi.

“Berdasarkan hasil perbincangan, Yayasan Pendidikan TARC secara prinsipnya tidak mempunyai bantahan untuk membenarkan penduduk terus tinggal di Kg Setia Jaya, sehingga penempatan semula mereka diselesaikan.

“Perbincangan juga tertumpu kepada penyelesaian terbaik bagi menyediakan perumahan gantian kepada penduduk yang akan dibincangkan secara terperinci.

“Perbincangan susulan akan diadakan bagi memastikan isu ini yang sudah ditangguhkan selama 30 tahun, dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya menerusi hantaran di X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter).

Dilaporkan kira-kira 500 penduduk di kampung itu terjejas dengan perintah mahkamah selepas pemilik tanah yang juga institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan, menggunakan saluran undang-undang untuk mendapatkan arahan supaya penduduk kampung mengosongkan tanah berkenaan dalam tempoh 18 bulan.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut dihadiri Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin. – 28 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Related