Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Kes Zayn Rayyan: Ini sebab mengapa PDRM minta bantuan Interpol | Scoop

Kes Zayn Rayyan: Ini sebab mengapa PDRM minta bantuan Interpol

Sebenarnya polis kita cekap dan bagus, malah banyak selesaikan kes dengan cepat, justeru orang ramai diminta tidak membuat spekulasi, mendesak atau memburukkan pihak berkuasa

10:31 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon bantuan Pertubuhan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, bukan disebabkan pihak berkuasa negara ini tidak cekap menjalankan siasatan.

Sebaliknya, menurut pandangan peguam Haniff Khatri Abdulla, Interpol memiliki teknologi dan kepakaran forensik lebih canggih bagi melancarkan siasatan kes pembunuhan kejam itu.

“Bantuan Interpol ini adalah berkaitan isu forensik yang mana Malaysia mungkin tidak mencapai tahap forensik tinggi untuk membantu daripada potensi kita (PDRM).

“Itu (sebab) mereka meminta bantuan Interpol, namun ia tidak bermakna polis kita tidak cekap! Itu (bantuan) adalah untuk melengkapkan maklumat daripada segi forensik, bukan dari segi mengenal pasti bukti.

“Bukti apa yang nak, dah dapat, cuma nak cam bukti itu memerlukan pengenalpastian tinggi (lantas memerlukan khidmat bantuan Interpol),” katanya kepada Scoop.

Haniff berkata, berdasarkan laporan media, terdapat tiga faktor yang memerlukan bantuan Interpol seperti pengecaman cap jari, Asid Deoksiribonukleik (DNA) dan mengenal pasti lokasi pembunuhan pertama Zayn.

Kata Haniff Khatri Abdulla, terdapat tiga faktor yang memerlukan bantuan Interpol seperti pengecaman cap jari, DNA dan mengenal pasti lokasi pembunuhan pertama Zayn. – Gambar Scoop, 24 Disember, 2023

“Menerusi siasatan polis, tempat mereka jumpa adalah lokasi kedua yang mana tempat mayat Zayn Rayyan ditemui, tapi sehingga sekarang mereka belum jumpai lokasi pembunuhan pertama.

“Yang paling penting adalah cap jari sebab saya percaya cap jari yang dijumpai di tempat dia ditemui itu mempunyai tindanan cap jari, iaitu sebagai contoh maksudnya jika saya pegang sesuatu benda itu dan pada benda itu juga ada cap jari individu lain, jadi nak asingkan cap jari terbabit melalui konsep ujian saintifik forensik, ia memerlukan banyak kaedah serta peringkat.

“Itu yang mereka perlukan forensik yang lebih istimewa dari Amerika Syarikat untuk tengok sama ada tindanan cap jari itu dapat diasingkan dengan betul dan selepas diasingkan, boleh mengenal pasti satu cap jari yang tulen,” katanya.

Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, masyarakat tidak seharusnya terlalu menekan pihak polis sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi berhubung siasatan kes tersebut. – Gambar Alif Omar/Scoop, 24 Disember, 2023

Sementara itu, pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, masyarakat tidak seharusnya terlalu menekan pihak polis sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi berhubung siasatan kes tersebut.

Menyifatkan PDRM antara pasukan polis terbaik dunia, Shahul Hamid memaklumkan, polis terpaksa memohon bantuan Interpol bagi mendapatkan lebih banyak klu bagi mengesan suspek.

“Sebenarnya polis kita cekap dan bagus, banyak selesaikan kes yang ada (sebelum ini) dengan cepat. Cuma ada kes tertentu yang tak dapat klu mencukupi, kalau dapat dah lama dia (suspek) kena tangkap.

“Kebuntuan dalam menyelesaikan kes terbabit setakat ini adalah disebabkan polis tidak dapat mengesan bukti penjenayah.

“Tak salah pun kita (polis) minta bantuan daripada sesiapa, mungkin pengalaman dan kepakaran Interpol itu dapat membantu menyelesaikan kes Zayn Rayyan,” katanya.

Shahul Hamid turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap PDRM agar suspek kes itu, segera ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Orang ramai harus sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap PDRM agar suspek kes itu, segera ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan. – Gambar Scoop, 24 Disember, 2023

“Yang lebih polis daripada polis’ (golongan suka buat spekulasi) ini saya nasihatkan supaya berikan sokongan kepada pihak polis, bagi masa untuk pihak berkuasa lakukan siasatan, jangan desak mereka dan buat macam-macam spekulasi terhadap polis.

“Ini bukannya melibatkan kes polis cuai atau apa, sebaliknya mereka berusaha sebaik mungkin bagi mengesan suspek kes pembunuhan.

“Bagi peluang dan ruang kepada pihak polis menjalankan tugas mereka termasuk yang terbaharu melibatkan penglibatan Interpol ini,” katanya.

Menerusi sidang media semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menyatakan, PDRM memohon bantuan Interpol bagi membantu siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan.

Katanya, PDRM sudah menghantar bukti berhubung kes itu kepada Interpol selepas lebih dua minggu mayat Zayn Rayyan ditemukan di tebing sungai berhampiran kediamannya di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya pada 6 Disember lalu. – 24 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Related