KUALA LUMPUR — Trafik menghala ke Pantai Timur sedikit sesak dari arah ibu kota menuju ke Plaza Tol Gombak susulan pertambahan kenderaan pagi ini.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, trafik juga perlahan selepas Gombak menuju ke terowong Genting Sempah.
Namun aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2 lancar di kedua-dua arah.
Aliran trafik di lebuh raya utama lain terkawal dan tiada kesesakan luar biasa berlaku di jalan-jalan utama menghala keluar dari Lembah Klang sempena sambutan Hari Krismas, esok.
Dalam pada itu, kesesakan berlaku di beberapa lokasi susulan kemalangan antaranya di Kilometer 263.2 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan dari Terowong Menora ke Ipoh.
“Insiden telah selesai, bagaimanapun trafik masih perlahan di lokasi dan pengguna jalan raya diminta berhati-hati,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, sedikit kesesakan turut berlaku di arah selatan dari Bandar Gamuda Cove menuju ke Persimpangan KLIA akibat kemalangan. — 24 Disember, 2023