Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Tohmahan pemimpin negara sesat, jahil ketika bincang iktibar Ashabul Kahfi ekstrem, keterlaluan: Mohd. Na’im | Scoop

Tohmahan pemimpin negara sesat, jahil ketika bincang iktibar Ashabul Kahfi ekstrem, keterlaluan: Mohd. Na’im

Agamawan dinasihatkan agar bersikap cermat, memelihara adab dalam menyampaikan dakwah, serta tawaduk dalam menyebarkan risalah agama

1:45 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melahirkan rasa kesal dengan kegopohan seorang pendakwah yang telah mengeluarkan bahasa kasar hingga membuat tohmahan bahawa pemimpin negara sebagai sesat serta jahil ketika membincangkan iktibar daripada kisah Ashabul Kahfi kepada penjawat awam baru-baru ini.

Malah menterinya, Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, tuduhan tersebut amatlah ekstrem serta keterlaluan.

Hakikatnya menurut beliau, pemimpin negara tersebut tidak menyatakan para pemuda Ashabul Kahfi itu sebagai golongan tidak beriman, sebaliknya beliau telah menegaskan keimanan Ashabul Kahfi dalam ucapannya.

“Dalam ucapan tersebut, pemimpin negara telah mengajak penjawat awam mengambil iktibar daripada kisah tersebut dan mengajak seluruh rakyat agar menjadi warganegara yang berprinsip selaras dengan dasar kebenaran dan keadilan dalam kehidupan berpandukan keteguhan keyakinan pemuda al-Kahfi itu.

“Huraian terhadap konteks peristiwa itu juga adalah tepat sebagaimana rujukan sumber-sumber tafsir dan tulisan ilmiah di mana kisah Ashabul Kahfi telah berlaku di zaman pemerintahan kaum Nasrani atau Kristian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, ia juga selari seperti penjelasan yang dibuat Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam isu pemuda al-Kahfi yang boleh dirujuk kepada Irsyad Al-Hadith Siri ke-50: Kisah dan Bilangan Ashabul Kahfi, pada April 2016 dan Bayan Linnas Siri ke-286: Adakah Ashab al-Kahfi Beragama Kristian?, Disember 2023.

Sehubungan itu pihaknya menyeru umat Islam untuk sentiasa merujuk isu-isu dan permasalahan keagamaan kepada pihak berkuasa agama Islam yang berautoriti dalam perkara berkaitan.

Pihaknya turut menasihati agamawan agar bersikap cermat, memelihara adab dalam menyampaikan dakwah, tawaduk dalam menyebarkan risalah agama agar tidak terjebak penyakit takbur dengan ilmu yang dimiliki.

“Para pendakwah perlu menghayati nilai-nilai hikmah demi memelihara kemaslahatan perpaduan masyarakat yang berakhlak, bersatu padu dan sejahtera. Sebarang ucapan dan ceramah yang berbaur sentimen perpecahan dan kebencian sesama sendiri perlu dihentikan,” katanya.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur tindakan segelintir pendakwah yang terburu-buru mengupas sesuatu isu yang disifatkan beliau lebih mengikut sentimen politik.

Perdana Menteri berkata, seharusnya pihak terbabit menyemak terlebih dulu fakta sebelum membuat sebarang penjelasan kepada orang ramai.

Komen itu dipercayai merujuk ulasan seorang penceramah terkenal yang tular di media sosial mengenai kenyataannya berkaitan tujuh pemuda Ashabul Kahfi, yang disentuh sewaktu Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) minggu lalu.

Tanpa memperincikan pendakwah berkenaan, Anwar mengakui kenyataan disentuh agamawan itu berkait ucapannya pada majlis bersama penjawat awam itu. – 23 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Related