Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Renong-UEM saga: Skandal RM2.3 bilion ada kaitan dengan Daim? | Scoop

Renong-UEM saga: Skandal RM2.3 bilion ada kaitan dengan Daim?

Hartawan berusia 85 tahun itu dilaporkan menegaskan beliau tidak terlibat dalam perjanjian kontroversi yang dibuat pada 1997

6:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang membawa kepada penyitaan bangunan mercu tandanya, Menara Ilham, semalam berkemungkinan terkait dengan perjanjian kontroversi Renong-UEM yang sudah lama wujud.

Di sebalik keengganan Daim untuk bekerjasama dengan penyiasat SPRM walaupun diberi amaran beberapa kali, hartawan berusia 85 tahun itu dilaporkan menegaskan beliau tidak terlibat dalam perjanjian kontroversi yang dibuat pada 1997.

Ketika siasatan berterusan SPRM terhadap transaksi RM2.3 bilion yang melibatkan kedua-dua entiti tersenarai awam, butiran perjanjian kontroversi itu dijangka didedahkan berikutan saman difailkan oleh bekas Pengerusi Eksekutif Renong, Tan Sri Halim Saad terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri Kewangan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan Malaysia pada 2 Ogos.

Saman yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi di sini, Halim mendakwa kerajaan dan Umno pimpinan Mahathir ketika itu, kira-kira 26 tahun lalu, memaksa syarikat tersebut diambil alih, yang akhirnya membawa kepada kejatuhannya.

Menurut FMT, kertas kausa diserahkan kepada defendan, hari ini.

Dalam kertas itu, Halim memfailkan permohonan untuk merujuk dua persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berhubung saman yang dikemukakan terhadap kerajaan.

Dalam permohonan itu, beliau berkata, Mahkamah Persekutuan mesti memutuskan sama ada tuntutan yang dikemukakan terhadap kerajaan yang didakwa melanggar kebebasan asasinya tertakluk pada had masa yang ditetapkan dalam Akta Had Masa atau Akta Pihak Berkuasa Awam dan Perlindungan 1948.

Soalan kedua ialah untuk Mahkamah Persekutuan menentukan sama ada doktrin “res judicata” terpakai untuk menghalangnya daripada membawa tuntutan itu atas sebab tindakan terdahulu berdasarkan fakta sama yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, walaupun tuntutan itu tidak berkaitan dengan sebarang pelanggaran kebebasan asasinya.

Res judicata ditakrifkan sebagai perkara yang diadili oleh mahkamah yang berwibawa, justeru tidak boleh diteruskan oleh pihak sama.

Permohonan terbaharu dalam saman yang sedang berjalan itu dibuat selepas saman terdahulu Halim dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi, 10 tahun lalu.

Mahkamah Rayuan menolak permohonannya pada 2014 manakala Mahkamah Persekutuan enggan memberikan kebenaran untuk merayu pada tahun berikutnya.

Untuk rekod, pada November 1997, firma infrastruktur terbesar negara, UEM, membeli 33 peratus pegangan dalam induknya yang memiliki hutang tinggi, Renong, dengan harga RM2.3 bilion.

Ia sekali gus membawa kepada kejatuhan nilai Renong apabila pelabur menjual saham dalam kedua-dua firma berkenaan.

Berikutan kekecohan orang ramai mengenai perjanjian itu, yang dikatakan bertentangan dengan peraturan pelaporan Bursa Saham, Suruhanjaya Sekuriti menggesa Halim, sebagai pemegang saham mengawal Renong, untuk membeli balik pegangan daripada UEM, dengan pembayaran akan dibuat antara Februari 2001 dan April 2002.

Bagaimanapun, pada Julai 2001, kerajaan memutuskan bahawa Khazanah Nasional akan mengambil alih keseluruhan kumpulan Renong, termasuk hutang RM12 bilion, untuk RM4 bilion.

Hubungan Umno dan Daim yang memegang jawatan sebagai bendaharinya antara 1984 hingga 2001, dengan perjanjian kontroversi itulah yang cuba dikaitkan oleh SPRM dengan penyitaan Menara Ilham.

Dr Mahathir yang terkenal menerusi hubungan rapatnya dengan Daim, nampaknya menggunakan Renong untuk menyokong perang politik Umno manakala Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas untuk menggunakannya bagi menstabilkan negara berikutan krisis kewangan Asean.

Semalam, Menara Ilham di Jalan Binjai di sini disita oleh SPRM ketika ia terus menyiasat kewangan Daim yang bermula Mei lalu berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana awam pada 1990-an.

Siasatan itu berbalik kepada tempoh ketika Daim menjadi Menteri Kewangan, dan apabila kerajaan, di bawah Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir, memantau pengambilalihan “terpaksa” saham sebuah syarikat tersenarai awam yang kemudiannya menyebabkan pasaran saham menjunam.

Ia berlaku di tengah-tengah krisis kewangan Asia pada 1997 dan digelar sebagai penyelamat beberapa tokoh perniagaan yang berkait rapat dengan kerajaan ketika itu.

Daim juga dilaporkan sedang disiasat berhubung maklumat kekayaannya seperti yang dibocorkan dalam Kertas Pandora 2021, yang memperincikan nama terkenal yang terlibat dalam urus niaga di pusat kewangan luar pesisir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari lalu mengarahkan agensi seperti SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meneruskan siasatan ke atas nama besar yang disebut dalam Kertas Pandora.

Sejak meninggalkan pejabat awam, Daim mengakui bahawa pelbagai laporan mengenai dakwaan rasuah dibuat terhadapnya, dan setiap kali itu SPRM menyiasatnya.

Bagaimanapun, beliau tidak pernah didakwa.

SPRM mendedahkan sedikit maklumat kepada orang ramai mengenai siasatan semasa ke atas Daim tetapi menurut Channel News Asia, Daim enggan mematuhi permintaan agensi itu untuk mendedahkan pegangan kewangan keluarganya.

Bekas Bendahari Umno itu dilaporkan sudah memohon pelanjutan untuk mematuhi permintaan SPRM.

Awal bulan ini, bagaimanapun, SPRM dilaporkan memaklumkan kepadanya bahawa tiada lanjutan tempoh akan diberikan, yang membawa kepada penyitaan Menara Ilham. – 22 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Related