GAZA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, tiada lagi hospital berfungsi di utara Gaza berikutan kekurangan bahan api, petugas dan bekalan diperlukan.
“Sebenarnya tiada hospital berfungsi lagi di utara Gaza.
“Hospital Al-Ahli Arab adalah yang terakhir tetapi ia kini berfungsi secara minimum,” kata Richard Peeperkorn, wakil WHO di Gaza, kepada pemberita melalui pautan video dari Baitulmaqdis.
Menurutnya lagi, kira-kira 10 petugas di hospital terbabit yang terdiri daripada doktor dan jururawat junior, terus memberi rawatan kecemasan, pengurusan sakit serta penjagaan luka asas dengan sumber terhad.
“Setakat dua hari lalu, ia satu-satunya hospital di mana mereka yang mengalami kecederaan masih boleh menjalani pembedahan di utara Gaza. Ia sesak dengan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan.
“Tiada lagi dewan bedah yang beroperasi disebabkan kekurangan bahan api, tenaga elektrik, bekalan perubatan serta petugas kesihatan, termasuk pakar bedah dan doktor pakar lain,” katanya.
Katanya, banyak jenazah mangsa serangan tentera Israel, masih berada di pekarangan hospital itu kerana belum dapat dikebumikan.
Selain Hospital Al-Ahli Arab, hanya ada tiga fasiliti kesihatan masih beroperasi pada tahap minimum di utara Gaza, iaitu Hospital Al-Shifa, Al Awda dan Al Sahaba yang turut dipenuhi ribuan penduduk untuk berlindung selepas kehilangan tempat tinggal.
Peeperkorn berkata, sebilangan pesakit di Hospital Al-Ahli Arab menunggu selama berminggu-minggu untuk menjalani pembedahan.
Katanya, pesakit yang sudah menjalani pembedahan pula berdepan risiko jangkitan pascapembedahan susulan kekurangan antibiotik dan ubat-ubatan lain.
“Kesemua pesakit berkenaan tidak mampu bergerak dan perlu dipindahkan segera agar mereka mempunyai peluang untuk diselamatkan,” katanya. – Agensi