KUALA LUMPUR – Ibu bapa yang gemar memuat naik gambar anak mereka di media sosial, secara tanpa sedar akan membuka ruang dan peluang kepada pelakuan jenayah, termasuk golongan pedofilia.
Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, biarpun berulang kali peringatan diberikan, sikap itu tetap berulang dengan alasan yang seringkali diberikan ibu bapa adalah mereka sekadar berkongsi ‘momen’ sementara anak masih kecil.
“Penggunaan media sosial ini bagi mereka yang ada anak kecil, sepatutnya dihadkan kepada keluarga sahaja bukan untuk tatapan orang awam. Malangnya ada yang meletakkan gambar anak main dalam kolam renang, berpakaian renang, bersolek berlebihan.
“Pada kita gambar itu ‘momen’ untuk kita rakam, tetapi di luar sana ada memerhati, misalnya golongan pedofilia yang berniat jahat.
“Apabila tatapan dibuat untuk umum, maka mungkin ada maklumat yang terlepas, misalnya di mana anak mereka bersekolah, waktu (anak) dihantar.
“Jadi semua ini memudahkan mereka (penjenayah) yang cenderung untuk melakukan perkara ini. Tindakan selanjutnya bagi mereka ini, ialah untuk melihat (mangsa) secara fizikal pula,” katanya kepada Scoop.
Kamal Affandi berkata, ahli keluarga juga perlu memainkan peranan dengan melakukan intervensi, sekiranya ada dalam kalangan ahli keluarga mereka memuat naik gambar anak yang tidak sesuai untuk tatapan umum.
Media sosial, tegasnya, memiliki kelebihan, tetapi pada masa sama, ia mempunyai bahaya terhadap seseorang, termasuk kanak-kanak.
Katanya, sekiranya media sosial dipandang daripada segi kelebihan, sudah tentu memberikan jangkauan luas, namun ia datang dengan risiko tersendiri, jadi orang ramai harus peka dengan perkara itu.
“Kita juga jangan lupa kes jenayah terhadap kanak-kanak terdahulu, seperti tragedi menimpa Nurin Jazlin, Audrey Malissa, Nurul Huda Abdul Ghani dan Nor Syazwani sebelum ini.
“Masalah orang kita, kadang kala kegentaran mereka itu hanya sebentar, lepas itu kembali seperti biasa, contohnya setiap raya pasti ada yang cedera angkara mercun, baju terbakar dan sebagainya (biarpun sudah dinasihat), begitu juga dengan kes kanak-kanak lemas yang sering berulang.
“Ini semua hanya boleh berlaku tanpa pengawasan ibu bapa, penjaga atau orang dewasa. Apabila anak menjadi amanah, semuanya mudah, tetapi kalau anak itu kita lihat sebagai beban, sebaliknya boleh berlaku, jadi kena tanya diri kita sendiri anak itu amanah atau beban,” katanya.
Presiden Persatuan Pemeriksaan Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar pula mengingatkan ibu bapa bahawa tidak semua anak suka diri mereka didedahkan di media sosial.
“Perlu lihat kesannya kepada emosi anak, ada yang murung, soal keselamatan mereka, malah gambar dimuat naik boleh terdedah kepada kecurian identiti menerusi teknologi pengesanan wajah.
“Anak mereka juga jadi sasaran golongan pedofilia atau menjadi mangsa berita palsu, buli siber, ancaman penculikan.
“Orang tahu alamat, siapa anak kita, comel tak comel, kita jadi sasaran mudah sebab kita dengan mudah post gambar anak-anak untuk tatapan umum,” katanya.
Beliau berkata, tumpuan kanak-kanak itu sepatutnya untuk pelajaran mereka di sekolah dan bukan sepanjang masa di media sosial.
“Ada ibu bapa yang nak anak popular di media sosial, dedahkan anak itu hingga anak hilang minat kepada pelajaran, sebaliknya meneruskan aktiviti di media sosial.
“Kadang ibu bapa ini suka ‘show off’ (menunjuk-nunjuk), tapi kena ingat majoriti masyarakat tidak menyokong perkara seumpama ini, utamakan pelajaran anak kerana itu menjamin masa depan mereka,” katanya.
Sementara itu, pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, kecuaian ibu bapa memuat naik gambar anak-anak di media sosial mendedahkannya kepada pelakuan jenayah dan perkara itu sememangnya berlaku.
“Banyak kes yang ada tapi tak didedahkan, memang berlaku, cuma mereka tak mahu buat laporan, ingin elak keluarga malu dan sebagainya.
“Bila muat naik gambar itu, kadang kita tidak tahu kita ada musuh, ada yang dendam dengan kita dan sebagainya.
“Jadi ini peluang kepada mereka melakukan perancangan dan apa juga yang boleh dilakukan terhadap kanak-kanak terbabit, ini yang kita bimbang, justeru tak perlulah dedah gambar anak di media sosial,” katanya. – 19 Disember, 2023