KUALA LUMPUR — Tiada kewajipan untuk memakai pelitup muka semasa berada di dalam pengangkutan awam setakat ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Bagaimanapun kata beliau, orang ramai digalakkan untuk memakai pelitup muka dalam mana-mana pengangkutan awam susulan peningkatan kes baharu Covid-19 di seluruh negara.
Jelasnya, sebarang dasar atau peraturan memakai pelitup muka ini hanya boleh ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
“Kementerian Pengangkutan tidak akan menetapkan dasar kita sendiri (berkaitan hal ini),’’ katanya selepas merasmikan Persidangan Kerjasama dan Pertukaran Serantau Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu China (ChongQing) Malaysia, di sini, hari ini.
Covid-19 telah mencatatkan peningkatan di seluruh negara namun Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan ia tidak akan mengulangi pelaksanaan langkah sekatan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada awal pandemik tersebut.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini berkata, susulan lonjakan kes berkenaan, KKM telah memperkukuhkan Pelan Pengurusan Covid-19 menerusi lima strategi utama.
Kes Covid-19 yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-50 iaitu dari 10 hingga 16 Dis adalah 20,696 kes iaitu peningkatan 62.2% berbanding 12,757 kes pada ME49. – 19 Disember, 2023