PUCHONG – Kerja-kerja pemasangan cerucuk besi di Taman Wawasan, di sini disambung pagi ini selepas empat hari kejadian tanah runtuh berlaku di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14.
Tinjauan Scoop di kawasan kejadian pagi ini mendapati kerja penyambungan cerucuk dijalankan mulai kira-kira 10.30 pagi dengan menggunakan kren.
Menurut sumber, setakat semalam sebanyak 52 cerucuk besi sudah dipasang bagi memperkukuhkan struktur tanah bagi mengelakkan berlaku pergerakan tanah di situ.
“Namun hari ini tidak diketahui berapa lagi cerucuk akan dipasang,’’ katanya.
Dalam pada itu, kawasan tersebut kelihatan agak sunyi dan ketika ini hanya petugas media yang memenuhi laluan tersebut.
Bagaimanapun atas faktor keselamatan, media tidak dibenarkan mendekati laluan yang terlibat dalam kejadian itu.
Sebelum ini, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, pemasangan 375 cerucuk besi akan dijalankan di sepanjang 150 meter laluan tanah runtuh di Taman Wawasan di sini, yang dijangka siap dalam tempoh 10 hari.
Dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14 itu yang berlaku pada jam 7.30 malam Sabtu lalu, ia turut menyebabkan empat kenderaan tertimbus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Empat kenderaan yang terlibat ialah Honda Jazz, Nissan Skyline, Honda City dan Naza Citr
Susulan kejadian itu, seramai 29 penghuni di sembilan rumah teres di Taman Wawasan Puchong diarah berpindah atas faktor keselamatan. – 19 Disember, 2023