Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Kes kematian pelajar tingkatan lima: MCMC nasihat orang ramai tidak kongsi gambar, video mangsa | Scoop

Kes kematian pelajar tingkatan lima: MCMC nasihat orang ramai tidak kongsi gambar, video mangsa

Sebarang perkongsian melibatkan gambar atau video boleh dikenakan tindakan undang-undang

8:40 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihati orang ramai untuk tidak berkongsi gambar atau video mangsa melibatkan tragedi di Meru, Ipoh.

Ia berkaitan kes kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Jati, yang didakwa dilanggar kereta dipandu seorang pegawai kanan polis berhampiran pintu pagar utama sekolah itu dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari, Jumaat lalu.

Menurut MCMC, bagi yang telah memuat naik atau berkongsi gambar atau video daripada kejadian berkenaan, mereka dinasihatkan untuk menurunkan hantaran atau memadam kandungan berkenaan.

“Selain itu, semua pihak turut dinasihati untuk tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“Sebarang perkongsian yang melibatkan gambar atau video tragedi berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, pegawai polis berkenaan, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan membunuh pelajar tingkatan lima terbabit.

Pertuduhan terhadap Deputi Superitendan itu dibacakan di hadapan Majistret S Punitha mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun tiada pengakuan direkodkan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu secara melanggar motosikal mangsa dengan keretanya, sehingga mengakibatkan kematian Muhammad Zaharif Affendi.

Terdahulu Scoop melaporkan, Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan menerusi kenyataan berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat pelajar terbabit mendapati, punca kematian adalah kecederaan di dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya.

Dalam pada itu MCMC menambah, pihaknya menghulurkan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat.

“MCMC ingin menekankan dan menasihati orang ramai tentang kepentingan untuk menghormati mangsa dan keluarga, serta pada masa sama,
menunjukkan empati yang tinggi.

“Perkongsian gambar atau rakaman video mangsa tidak hanya akan melukakan perasaan keluarga mangsa, tetapi juga melanggar prinsip dan etika asas. Setiap individu harus membuat pertimbangan sewajarnya untuk tidak menyebarkan gambar atau kandungan berkaitan tragedi berkenaan,” katanya. – 18 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Related