KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan membincangkan isu anugerah gelaran ‘Datuk’ yang diterima wakil rakyatnya, Ng Suee Lim, dalam mesyuarat akan datang.
Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung parti, Anthony Loke dalam sidang media di Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan hari ini.
Suee Lim yang juga Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor antara 97 penerima dalam senarai penerima Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-78 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini.
Polisi DAP sebelum ini melarang pemimpinnya menerima sebarang gelaran semasa berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Pada Oktober lalu, CEC mengeluarkan teguran keras kepada dua wakil rakyat DAP Sabah kerana menerima anugerah gelaran Datuk dan memutuskan tindakan mereka melanggar dasar parti.
Bagaimanapun Suee Lim berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada kepimpinan parti sebelum menerima darjah kebesaran itu.
Loke ketika mengesahkan perkara tersebut berkata, pihaknya telah meminta Suee Lim membawa perkara itu ke Jawatankuasa DAP Selangor.
“Memang dia ada bincang dengan saya. Kita akan bincang dalam mesyuarat CEC akan datang,” katanya seperti dipetik Malaysiakini. – 17 Disember, 2023