Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Video bapa Muhammad Zaharif rebah ketika terima kunjungan Ketua Polis Perak runtun hati | Scoop

Video bapa Muhammad Zaharif rebah ketika terima kunjungan Ketua Polis Perak runtun hati

Dia awalnya menyambut salam dan dipeluk Mohd Yusri ketika pegawai polis itu tiba di kediamannya dan ketika berbual sesuatu, Muhd Zamrie rebah

8:40 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Insiden seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie maut selepas dilanggar kereta dipandu seorang pegawai polis di Ipoh, Perak semalam, bukan sahaja mengejutkan dan menimbulkan kemarahan ramai terhadap pelaku, tetapi juga mengundang sebak masyarakat.

Malah, video tular memaparkan bapa pelajar Tingkatan Lima itu, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, rebah susulan kejadian menimpa anaknya itu, meruntuh hati netizen.

Satu daripada video itu memaparkan Muhd Zamrie ke lokasi kejadian remaja itu terbabit kemalangan.

Ketika melihat anaknya terbaring di tepi jalan, dia secara tiba-tiba rebah dan dibantu orang awam akibat terkejut dengan kejadian itu.

Manakala, video kedua menyaksikan Muhd Zamrie rebah kerana terlalu sedih ketika menerima kunjungan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri di kediamannya di Taman Chepor Sentosa, Ipoh hari ini.

Dia awalnya menyambut salam dan dipeluk Mohd Yusri ketika pegawai polis itu tiba di kediamannya dan ketika berbual sesuatu, Muhd Zamrie rebah.

Menerusi laporan Sinar Harian, kunjungan Mohd Yusri untuk melawat keluarga mangsa pada jam 5 petang itu, diiringi Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dan Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan.

Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari itu, Muhammad Zaharif Affendi meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kereta berhampiran pintu pagar utama sekolahnya.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal, ingin pulang ke rumah selepas habis waktu persekolahan.

Terdahulu, Yahaya menerusi kenyataan berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat pelajar terbabit mendapati, punca kematian adalah kecederaan di dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya.

Ujarnya, orang ramai diminta tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam.

Semalam, Scoop melaporkan, Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan mengesahkan pemandu yang terbabit dalam kemalangan melanggar pelajar itu hingga maut, adalah seorang anggota berpangkat pegawai kanan polis dari Kontinjen Kedah.

Jelasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan melindungi sesiapa termasuk pegawai sendiri sekiranya mempunyai bukti kukuh.

“Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi yang boleh menganggu siasatan atau boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam,” katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain hari ini memaklumkan, pegawai kanan polis yang disyaki terbabit dalam kejadian itu, direman tiga hari.

Menurutnya, suspek berpangkat deputi superintendan (DSP) yang bertugas sebagai Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah itu, direman mulai hari ini, seperti dilaporkan BH.

Tegasnya, reman itu bagi membolehkan siasatan secara menyeluruh dijalankan secara telus dan adil.

“Ketua Polis Daerah Ipoh, Ketua Polis Perak dan Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, sudah diarah menjalankan siasatan secara menyeluruh serta terperinci.

“Pada masa ini, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan, atas kesalahan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian,” katanya. – 16 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Related