KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta BMW ditahan bagi membantu siasatan kes kemalangan yang mengorbankan dua guru di Jalan Permatang Baru, di Kepala Batas, Pulau Pinang, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Seberang Perai Utara, Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, lelaki berusia 46 tahun itu dibawa ke Mahkamah Butterworth untuk mendapatkan perintah reman, pagi tadi.
Menurutnya, soal siasat mendapati kemalangan kira-kira jam 2.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu lelaki terbabit hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung kereta jenis Perodua Myvi dinaiki dua mangsa.
“Ketika itu BMW yang dipandu lelaki tempatan datang dari arah Sungai Lokan, Butterworth menghala Kepala Batas.
“Pemandu Perodua Myvi meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Nor Salawati berkata, hasil ujian pernafasan ke atas pemandu BMW mendapati paras kandungan alkohol melebihi tahap dibenarkan.
“Pemandu itu dibawa ke Mahkamah Butterworth pagi tadi untuk mendapatkan perintah reman.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Hafizi Mohamad di talian 011-26967676,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, media melaporkan dua lelaki dikenal pasti sebagai Muhammed Ahsan Mohamed Ayub, 32, dan Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian, akibat kecederaan parah dialami mereka.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas Nazril Syazwan Khalil berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.41 pagi, memaklumkan terdapat kemalangan membabitkan dua kenderaan.
Katanya, bagaimanapun pemandu BMW terbabit tidak mengalami kecederaan. – 16 Disember, 2023