KUALA LUMPUR – Pemergian Zayn Rayyan Abdul Matiin dalam keadaan menyayat hati memberi kesan cukup mendalam kepada ibunya, Ismanira Abdul Manaf.
Menerusi perkongsian terbaharu wanita itu di Instagram miliknya, Ismanira, 28, memuatnaik gambar wanita Palestin yang mendakap anaknya yang sudah tidak bernyawa akibat serangan tentera Israel.
Gambar tersebut seolah-olah memberi bayangan mengenai perasaannya ketika ini.
“Sekarang saya dah dapat rasa, macam mana sakitnya perasaan rakyat Palestin apabila hilang anak,” tulisnya disertakan dengan emoji sedih.
Dalam hantaran berasingan, Ismanira juga berkongsi gambar suaminya memegang anak kedua mereka sambil diperhatikan Zayn.
Menurutnya, anak keduanya itu sering mencari dan memanggil nama Zayn.
“Semoga abang dan adik berjumpa semula di syurga ya. Adik sayang abang. Adik hari-hari panggil nama abang, cari abang,” tulisnya.
Perkongsian itu turut mengundang sebak netizen yang simpati dengan nasib menimpa Zayn.
“Hilang kata-kata melihat video ini. Apa lagi mommy dia. Kuat mommy. Semoga arwah tenang bermain di syurga,” kata Zulfaain.
“Sebaknya. Seorang abang yang sangat baik. Tersangat hiba tengok video ini. Zayn Rayyan sangat menyentuh hati kami semua. Semoga puan terus kuat. Kami doakan puan sekeluarga bertemu semula di syurga,” kata Faziaadyani.
Terdahulu, Scoop melaporkan Zayn yang dilapor hilang, ditemui meninggal dunia.
Hari ini, genap 10 hari siasatan dijalankan ke atas pembunuhan Zayn selepas mayat kanak-kanak itu ditemui di sungai, kira-kira 100 meter dari rumahnya di Damansara Damai dekat sini pada 6 Disember lalu.
Kematian Zayn kemudian diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.
Usaha mengesan pelaku kes berkenaan kini giat dijalankan termasuk pemeriksaan dari rumah ke rumah yang dijalankan di Apartment Damai. – 16 Disember, 2023