Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Mimbar ingatkan rakyat, pemimpin usah bercakaran, pastikan negara kekal stabil, harmoni | Scoop

Mimbar ingatkan rakyat, pemimpin usah bercakaran, pastikan negara kekal stabil, harmoni

Ada saluran yang betul dan sesuai untuk menegur dan bersuara bagi membina masa depan lebih baik

4:52 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mentaati arahan dan titah pemerintah merupakan tuntutan dalam Islam bagi memastikan kestabilan dan keharmonian negara berjaya dicapai serta dikekalkan.

Teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberi ingatan jika rakyat dan pemimpin saling bercakaran dan menyalahkan satu sama lain, negeri atau negara tidak akan tenteram serta menikmati hidup rukun damai.

“Sekiranya ada kesalahan atau kekurangan yang dilakukan oleh pemimpin yang bersifat peribadi, atau tanpa melibatkan penindasan ke atas rakyat, maka ia hendaklah ditegur dengan penuh hikmah dan beradab.

“Dan, bukanlah dengan mengangkat senjata dan menimbulkan huru-hara, yang akhirnya akan menyebabkan kerugian kepada rakyat dan negara sendiri,” kata mimbar menerusi khutbah bertajuk ‘Raja berdaulat, menjunjung kasih titah ditaat’.

Menurut teks khutbah itu, rakyat Malaysia khususnya umat Islam di negara ini wajar bersyukur kerana dianugerahi seorang pemerintah yang adil dan prihatin kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat.

“Di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, Seri Paduka telah berjaya melaksanakan tanggungjawab menerajui kepimpinan negara dengan baik.

“Pada ketika rakyat menghadapi musibah dan keperitan hidup mendepani ujian besar pandemik Covid-19, yang sama sekali tidak pernah diduga,” katanya.

Minbar berkata, Seri Paduka juga telah menggunakan kebijaksanaan dalam mengatasi dan mengimbangi kestabilan politik tanah air yang  pernah melalui detik-detik mencabar, dengan penuh hikmah dan adil.

“Memberikan sepenuh ketaatan kepada raja, bukanlah bermaksud sebagai rakyat biasa kita tidak boleh menegur dan bersuara untuk membina masa depan yang lebih baik.

“Bagi tujuan tersebut, ada salurannya yang betul dan sesuai untuk digunakan dan perlu elakkan diri daripada meluahkannya di media sosial dan mewujudkan provokasi secara tidak bermoral yang boleh merosakkan imej negara di mata dunia.

“Janganlah kita hanya bertanya apakah yang negara boleh berikan kepada kita, akan tetapi bertanyalah kepada diri sendiri, apa sumbangan kita kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Teks khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula menyentuh pengajaran dari surah al-Hujurat yang mana dalam ayat 1 hingga 5, terkandung larangan bersikap memandai-mandai terutamanya dalam urusan agama tanpa merujuk kepada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

“Apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya merupakan ketetapan yang mesti dipatuhi dan tidak boleh diubah dengan sewenang-wenangnya apatah lagi menghalalkan yang telah diharamkan atau mengharamkan sesuatu yang telah dihalalkan oleh Allah.

“Selain itu, terkandung juga panduan adab sopan berbicara dengan Rasulullah SAW. Maka Allah SWT mengajak orang beriman supaya berbicara dengan Rasulullah SAW dengan bicara yang penuh sopan dan santun.

“Dalam konteks kita hari ini, pastinya adab sopan itu boleh diterjemahkan dengan membanyakkan berselawat ke atas baginda,” katanya.

Tambah mimbar, dalam ayat 6, Allah SWT memerintahkan orang beriman supaya menyelidiki setiap berita yang diterima bagi mengenal pasti kebenarannya.

“Dalam situasi hari ini, pertembungan maklumat yang beredar dalam media sosial menjadi suatu cabaran utama kepada kita untuk menapis dan membendung penyebaran berita palsu dan dakyah-dakyah sesat yang meracuni pemikiran manusia,” katanya. – 15 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Related