CYBERJAYA – Pengorbanan dan kegigihan dalam memberi kesedaran kepada muridnya mengenai bahaya jenayah siber, membawa tuah kepada seorang guru, Azharul Faiz Zainal Abidin apabila meraih dua Anugerah Kecemerlangan Sukarelawan ICT Malaysia 2023 (MEA 2023).
Guru teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Serai, Perak itu yang turut muncul Sukarelawan Terbaik Keseluruhan MEA 2023, menerima anugerah berkenaan bagi kategori Sukarelawan ICT Malaysia (MIV) Bersama Sekolah dan Anugerah Bintang Handalan (Kategori Anugerah Khas MIV).
Azharul Faiz berkata, apa dilakukannya adalah untuk membuka mata pelajar mengenai bahaya jenayah siber dan bagaimana mereka boleh memastikan keselamatan berhubung aspek itu, sentiasa terjamin.
“Saya bersyukur dan terharu di atas anugerah ini dan usaha saya lakukan itu, adalah untuk keselamatan anak murid saya kerana jenayah siber semakin berleluasa sekarang, antaranya scammer.
“Kejayaan saya raih hari ini, bukan milik saya seorang, sebaliknya hasil usaha warga sekolah sebagai sebuah pasukan, termasuk pentadbiran, semua guru dan anak murid,” katanya ketika ditemui pada acara berkenaan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini, hari ini.
Sijil dan plak penghargaan kepada pemenang disampaikan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Malah, Azharul, 42, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Faiz menyifatkan anugerah diterimanya itu antara momen paling berharga dan istimewa sepanjang 18 tahun dia bergelar pendidik.
Berkongsi kempen dijalankannya menerusi usaha terbabit, Penolong Kanan Kokurikulum yang juga guru Matematik itu memaklumkan, ia termasuk memastikan pelbagai informasi menarik berhubung jenayah siber, disebar luas kepada golongan sasaran, iaitu pelajar.
“Kami di sekolah mewujudkan satu task force (pasukan khas) untuk MIV yang saya letakkan di bawah Kelab Pencegahan Jenayah.
“Tiap-tiap minggu secara konsisten, kami akan buat live streaming ‘info cyber’, iaitu menerangkan mengenai maklumat siber selama satu minit dalam kalangan pelajar di sekolah kami dari Mac hingga Oktober tahun ini. Murid turut membantu dalam kempen sebar luas ini seperti pengumpulan maklumat sebab itu saya kata, ia kemenangan kami bersama,” katanya.
Diperkenalkan sejak 2016, kategori MIV adalah projek kelolaan MCMC dan berjaya melatih 10,247 sukarelawan setakat ini.
Sukarelawan dilatih terdiri daripada pelbagai latar belakang yang mampu memajukan serta menghasilkan aplikasi dan perkhidmatan ICT, demi manfaat masyarakat.
Antara khidmat lain diberikan sukarelawan MIV adalah melaksanakan strategi pemasaran dalam talian bagi membantu pengusaha tempatan, memasarkan produk, mendidik penggunaan ICT secara berhemah dan memupuk kesedaran masyarakat terhadap mesej advokasi MCMC.
Dua lagi penerima anugerah bagi kategori MIV Bersama Sekolah adalah Tan Ke Sin dari Pulau Pinang dan Jessica James Sikain (Tawau, Sabah).
Sementara itu, Mohammad Salim berkata, penganjuran acara itu dan Anugerah MIV sangat bertepatan dengan misi MCMC, iaitu bagi melahirkan program kesukarelawan yang dapat memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua pemenang. Mereka ini antara 22 orang terbaik daripada 157 pencalonan diterima. Anugerah ini menunjukkan usaha memperkenalkan MIV berbaloi untuk sentiasa mempertingkat nilai tambah ICT dalam kehidupan seharian.
“Saya harap akan ada lebih banyak program sukarelawan sebegini diadakan agar ia dapat memberi inspirasi kepada masyarakat,” katanya.
MIV Awards 2023 menampilkan enam kategori, iaitu MIV Bersama Sekolah, Anugerah Khas MIV (Superstar Award), MIV Bersama Komuniti, Individu MIV Bersama Komuniti, MIV Bersama Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Kandungan MIV Terbaik – 13 Disember, 2023