KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes seorang akauntan di sebuah syarikat swasta yang ditemukan mati, disyaki dibunuh, di tepi Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru, kelmarin.
Mangsa, seorang lelaki berusia 28 tahun, ditemukan dalam keadaan tertiarap dan tidak berpakaian oleh orang awam kira-kira pukul 6 pagi sebelum melaporkannya kepada polis.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, dua lelaki berusia 25 dan 35 tahun yang juga rakan mangsa itu ditahan secara berasingan di sekitar Lembah Klang, semalam.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 18 Disember ini untuk membantu siasatan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihak polis masih menyiasat motif pembunuhan termasuk mengenal pasti lokasi mangsa dibunuh sebelum mayatnya ditemukan.
Katanya, hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati, punca kematian akibat pelbagai kecederaan kesan hentakan benda tumpul di beberapa bahagian tubuh.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – 13 Disember, 2023