KUALA LUMPUR – Tiga penduduk Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya yang ditahan polis, tiada kaitan dengan siasatan berhubung kes pembunuhan kanak-kanak autism, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Huseein Omar Khan berkata, sebaliknya tiga individu terbabit dipercayai penagih dadah dan positif bahan larangan berkenaan.
Katanya, mereka ditahan selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) beramai-ramai dilakukan ke atas penduduk di situ, baru-baru ini.
“Kebetulan ketika kami (polis) melakukan pemeriksaan DNA itu, mereka (tiga individu ini) positif dadah, jadi kami tahan mereka bagi melakukan ujian air kencing untuk tindakan lanjut.
“Mereka tiada kaitan dengan siasatan ini,” katanya kepada media.
Semalam, Hussein berkata, keputusan berkaitan ujian DNA itu, dijangka diperoleh dalam tempoh kira-kira tiga hari.
Pada Sabtu lalu, polis menjalankan operasi tergempar bagi melakukan ujian DNA ke atas setiap penduduk di Apartment Idaman.
Operasi itu adalah sebahagian siasatan berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan yang juga penduduk di sebuah daripada blok di situ yang mayatnya ditemui di kawasan berhampiran.
Bermula kira-kira 8.30 malam, operasi berkenaan yang membabitkan penduduk di semua 18 blok di situ, dijalankan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selangor dan Bukit Aman.
Scoop difahamkan, penduduk hanya dimaklumkan mengenai operasi itu kira-kira 30 minit sebelum ia diadakan menerusi kumpulan perbualan, Whatsapp.
Mereka diminta turun ke bawah blok dengan membawa kad pengenalan masing-masing.

Terdahulu, Zayn Rayyan disedari hilang sejak 12.30 tengah hari Selasa minggu lalu, sebelum ibunya membuat hebahan di media sosial dan laporan polis.
Usaha pencarian dijalankan polis dengan dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan anjing pengesan Unit K9, membabitkan kawasan belukar dan longkang berhampiran dalam radius kira-kira 300 meter.
Dia kemudian ditemui tidak bernyawa sehari kemudian di kawasan anak sungai, berhampiran kediamannya.
Menurut kenyataan polis, sungai berkenaan terletak kira-kira 100 meter dari kawasan rumah kanak-kanak itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada sidang media berkata, Zayn Rayyan dipercayai dibunuh di tempat lain, bukan di lokasi mayatnya ditemui.
Susulan penemuan itu, polis giat menjalankan siasatan terperinci bagi memburu suspek menerusi pelbagai kaedah.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – 13 Disember, 2023