KUALA LUMPUR – Rombakan Kabinet diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bukan disebabkan tekanan politik, tetapi lebih kepada langkah strategik untuk memastikan visi Malaysia Madani mencapai aspirasinya.
Barisan Kabinet baharu yang menyaksikan pertambahan menteri, timbalan menteri dan kementerian baharu membolehkan Kerajaan Perpaduan dilihat lebih efisien dan berfokus dalam pentadbirannya.
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Azmi Hassan berkata, pembentukan dua kementerian baharu iaitu Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Digital dilihat selari dengan konsep Ekonomi Madani.
“Ini menunjukkan fokus kerajaan kerana Anwar mahukan penggunaan tenaga yang lebih bersih, tenaga boleh diperbaharui sebagai matlamat ekonomi Madani. Dalam hal ini, kementerian tersebut ditumpukan.
“Keduanya, Malaysia melalui ekonomi Madani menumpukan ekonomi digital yang mampu memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya kepada Scoop hari ini.
Menurutnya, fokus utama Perdana Menteri adalah untuk memacu masa depan negara ke tahap terbaik dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini.
“Berbanding setahun lalu, pembentukan Kabinet yang diumumkan oleh Anwar bersandarkan kepada keputusan dan kepentingan politik kerana penubuhan Kerajaan Perpaduan sebelum ini disokong 19 entiti parti politik.
“Kali ini, pembentukan Kabinet adalah bersandarkan langkah strategik kerana Anwar merasai beliau mempunyai sokongan kuat. Jadi, tidak perlu memikirkan sangat kepentingan politik.
“Sebab itu ditubuhkan dua kementerian baharu ini, jadi ia bukan sebab banyak keputusan politik tetapi kepentingan strategik masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, paling menarik adalah pertukaran portfolio tiga pemimpin utama dalam Umno iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan juga Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
“Ini adalah fokus geostrategik, jadi Malaysia dapat diwakili dengan lebih baik lagi dalam hal-hal antarabangsa kerana Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan saling berkait,” katanya.
Sementara itu, penganalisis sosiopolitik dari Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, Kabinet baharu relatifnya besar, tetapi ia berbaloi untuk memastikan pengurusannya lebih berfokus.
“Kita lihat beberapa kementerian dipecahkan bertujuan memastikan ia dilihat lebih berfokus dengan skop lebih khusus, sekali gus mampu meningkatkan prestasi pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
“Malah kemasukan golongan teknokrat seperti lantikan Menteri Kewangan II, individu pakar dalam bidang kewangan, pasaran yang sangat faham selok-belok dan realiti sebenar ekonomi negara.
“Ini kita perlu alu-alukan, penyertaan kelompok ini dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan dapat memberi nilai tambah kepada kekuatan pasukan baharu ini,” katanya.
Beliau berkata, begitu juga dengan lantikan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, biarpun dikecam pembangkang, ia dilihat sebagai satu pengiktirafan meskipun diberi jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi.
“Saya kira lantikan Johari merupakan pengiktirafan kepada beliau sama ada dalam parti atau kerajaan sebelum ini.
“Perlu dilihat, juga pada lantikan pertama Kabinet Perpaduan, beliau (Johari) menolak memegang jawatan dalam kerajaan. (Tapi) kali ini beliau terima dan selesa dengan jawatan tersebut, kalau tak sudah tentu beliau menolaknya,” katanya.
Johari yang sebelum ini pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan II dilantik menerajui Kementerian Perladangan dan Komoditi, mengambil tempat Datuk Seri Fadillah Yusof yang bertukar portfolio ke Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam. – 13 Disember, 2023