PETALING JAYA – Seekor anjing pengesan dari Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibawa masuk ke Blok R, Apartment Idaman di Damansara Damai di sini, petang ini.
Anjing pengesan terbabit bersama-sama dengan lima anggota Unit K9 dilihat memasuki blok tersebut kira-kira jam 5.15 petang bagi mengesan bahan bukti baharu kes pembunuhan kanak-kanak autism, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Bagaimanapun, unit tersebut dilihat meninggalkan lokasi pada jam 5.35 petang.
Terdahulu, kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu disedari hilang sejak pukul 12.30 tengah hari Selasa lalu, sebelum ibunya membuat hebahan di media sosial dan laporan polis.
Usaha pencarian dijalankan polis dengan dibantu anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan anjing pengesan Unit K9, membabitkan kawasan belukar dan longkang berhampiran dalam radius kira-kira 300 meter.
Dia kemudian ditemui tidak bernyawa sehari kemudian di kawasan anak sungai, berhampiran kediamannya.
Menurut kenyataan polis, sungai berkenaan terletak kira-kira 100 meter dari kawasan rumah kanak-kanak itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, pada sidang akhbar berkata Zayn Rayyan dipercayai dibunuh di tempat lain, bukan di lokasi mayatnya ditemukan.
Susulan penemuan itu, polis giat menjalankan siasatan terperinci bagi memburu suspek menerusi pelbagai kaedah.
Kes terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – 12 Disember, 2023