Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Kes Zayn Rayyan: Penduduk trauma, ‘saya sanggup jalan kaki jemput anak, tak benarkan dia sendiri’ | Scoop

Kes Zayn Rayyan: Penduduk trauma, ‘saya sanggup jalan kaki jemput anak, tak benarkan dia sendiri’

Insiden pembunuhan kanak-kanak itu benar-benar meninggalkan kesan kepada penduduk yang bimbang terhadap keselamatan diri, terutama dalam kalangan ibu bapa yang memiliki anak kecil

8:00 AM MYT

 

PETALING JAYA – Trauma, takut, berdepan gangguan emosi dan sentiasa tertanya-tanya siapa pelakunya setiap hari.

Perasaan itu menyelubungi penduduk Apartment Idaman, Damansara Damai di sini sejak kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, ditemukan meninggal dunia akibat dibunuh di kawasan berkenaan.

Insiden itu benar-benar meninggalkan kesan kepada penduduk yang bimbang terhadap keselamatan diri, terutama dalam kalangan ibu bapa yang memiliki anak kecil.

Penduduk, Noraini Ahmad, 51, berkata, sejak kejadian itu, dia tidak lagi membenarkan anak bongsunya, Muhammad Zulhakimi Zamri, 11, berjalan kaki berseorangan ketika pulang dari sekolah.

Katanya, sebelum ini, suaminya akan menghantar Zulhakimi ke sekolah dalam perjalanan ke tempat kerja, tetapi anaknya akan pulang sendiri.

Noraini Ahmad mendedahkan, sejak kejadian itu, dia tidak lagi membenarkan anak bongsunya berjalan kaki berseorangan ketika pulang dari sekolah. – Alif Omar/Scoop, 11 Disember, 2023

“Saya memang benar-benar terkesan dengan pemergian Zayn Rayyan. Kalau anak saya pergi sekolah, saya tak risau sebab dia ikut sekali ayahnya yang bergerak ke tempat kerja.

“Bila balik sekolah dia pulang berseorangan, jadi sekarang saya akan jalan kaki tunggu dia depan sekolah pada pukul 1 petang untuk jemput dan bawa dia sampai ke rumah dengan selamat.

“Biarlah saya bersusah jalan kaki nak ambil dia yang penting keselamatan diri anak diutamakan,” kata suri rumah itu.

Bagi seorang lagi penduduk, Norasilah Bahudin, 38, yang menetap di Blok S, sejak kematian meruntun hati menimpa Zayn Rayyan, sebagai ibu dia sudah mula menghantar dan mengambil anak ketiganya yang bersekolah rendah di kawasan berhampiran.

Norasilah Bahudin sudah mula menghantar dan mengambil anak ketiganya yang bersekolah rendah di kawasan berhampiran. – Alif Omar/Scoop, 11 Disember, 2023

“Saya memang trauma sampaikan dah mula menghantar dan mengambil anak pulang dari sekolah setiap hari.

“Jarak rumah ke sekolah dalam 10 minit. Saya risau mungkin ada perkara buruk boleh berlaku.

“Disebabkan kes Zayn Rayyan, saya perhatikan ramai ibu bapa semakin berhati-hati dengan keselamatan anak masing-masing,” katanya.

Jiran keluarga mangsa yang mahu dikenali sebagai Arash pula berkata, sejak kes itu, dia merasa tidak selamat, sehingga membawa anak-anaknya bersama walaupun ke mana dia pergi.

Kawasan kejiranan yang selama ini dianggap selamat kini diselubungi trauma dan ketakutan ekoran kematian tragis Zayn Rayyan. – Alif Omar/Scoop, 11 Disember, 2023

“Saya tinggal di sini sejak 2016 dan tidak pernah mangga gril pintu pada waktu malam ketika di rumah. Hanya mengunci pintu depan sudah cukup. Tetapi sejak kes pembunuhan Zayn, setiap malam sama ada saya atau isteri akan memeriksa gril dan memastikan ia dimangga.

“Kadang-kadang apabila saya tidur pada waktu malam, saya bangun dengan memikirkan gril dan sama ada sudah dimangga,” kata Arash, 39, yang mengusahakan gerai makan.

Dia juga tidak lagi berani membiarkan anak-anaknya berjalan tanpa pengawasan di sekitar blok atau di taman permainan.

“Saya kini membawa semua anak-anak saya bersama saya, di mana sahaja, walaupun saya pergi bekerja. Saya tidak meninggalkan mereka dari pandangan saya,” katanya.

Berkongsi pandangannya mengenai personaliti mangsa, Arash menyifatkan Zayn Rayyan seorang kanak-kanak yang baik dan sentiasa berada di sisi ibunya, Ismanira Abdul Manaf.

Seorang penduduk di blok sama dengan Zayn Rayyan, iaitu Blok R berkata, beliau mengalami masalah untuk tidur dan mudah terjaga pada waktu malam sejak mayat kanak-kanak terbabit ditemui.

Jelasnya, dia juga selalu berhati-hati dalam tindakannya, termasuk jika meletakkan kenderaan agak jauh.

Kematian Zayn Rayyan memberi kesan emosi kepada penduduk di Apartment Idaman, lebih-lebih lagi apabila memikirkan mangsa hanya seorang kanak-kanak dan mengidap autisme. – Gambar media sosial, 11 Disember, 2023

“Suasana tempat ini berubah sepenuhnya. Saya tidak berasa selamat untuk membiarkan anak-anak saya bermain di taman permainan tanpa pengawasan.

“Biasanya saya tidur awal, tetapi sejak pembunuhan ini, saya tidur kira-kira pukul 1 atau 2 pagi dan saya masih terbangun pada waktu malam,” kata wanita enggan dikenali itu.

Mengakui kes terbabit memberi kesan emosi kepada penduduk, wanita berkenaan berkata, dia selalu tertanya siapakah individu yang sanggup bertindak kejam seperti itu, lebih-lebih lagi mangsa hanya seorang kanak-kanak dan mengidap autisme.

Sepanjang bercakap dengan Scoop, dia beberapa kali mengatakan, perasaan penduduk tidak akan tenang dan sentiasa bimbang selagi suspek tidak ditangkap.

Zayn Rayyan disedari hilang sejak 12.30 tengah hari Selasa lalu, sebelum ibunya membuat hebahan di media sosial dan laporan polis.

Usaha pencarian dijalankan polis dengan dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan anjing pengesan Unit K9, membabitkan kawasan belukar serta longkang berhampiran dalam radius kira-kira 300 meter (m).

Khidmat unit anjing pengesan, K9 turut digunakan untuk membantu polis mencari bahan bukti di kawasan kejadian. – Alif Omar/Scoop, 11 Disember, 2023

Dia kemudian ditemui tidak bernyawa sehari kemudian di kawasan anak sungai, berhampiran kediamannya.

Menurut kenyataan polis, sungai berkenaan terletak kira-kira 100m dari kawasan rumah kanak-kanak itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada sidang media berkata, Zayn Rayyan dipercayai dibunuh di tempat lain, bukan di lokasi mayatnya ditemukan.

Susulan penemuan itu, polis giat menjalankan siasatan terperinci bagi memburu suspek menerusi pelbagai kaedah, termasuk menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas setiap penduduk di 18 blok di situ, malam semalam.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – 11 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Related