Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Kes Zayn Rayyan: Polis rakam 48 keterangan, masih menunggu laporan Jabatan Kimia | Scoop

Kes Zayn Rayyan: Polis rakam 48 keterangan, masih menunggu laporan Jabatan Kimia

Keterangan diambil daripada ibu bapa Zayn, guru sekolah dan 45 orang lagi jiran-jiran serta saksi bebas

6:42 PM MYT

 

PETALING JAYA – Pihak polis setakat ini sudah merakam 48 keterangan membabitkan siasatan kes kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6.

Mengesahkan maklumat itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, keterangan terbabit terdiri daripada ibu bapa mangsa, seorang gurunya, jiran dan saksi bebas.

“Setakat ini pihak polis sudah merakamkan 48 keterangan termasuk daripada ibu bapa Zayn, guru sekolah Zayn dan 45 orang lagi adalah jiran-jiran dan saksi bebas,” katanya menerusi perkongsian WhatsApp kepada pihak media.

Hussein berkata, polis masih menunggu keputusan analisis cap jari dan DNA daripada Jabatan Kimia.

“Pihak polis masih belum menerima keputusan cap jari dan DNA, termasuk pakaian mangsa yang sudah diserahkan kepada Jabatan Kimia,” katanya.

Terdahulu, Zayn Rayyan disedari hilang sejak 12.30 tengah hari Selasa lalu, sebelum ibunya membuat hebahan di media sosial dan laporan polis.

Usaha pencarian dijalankan polis dengan dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan anjing pengesan Unit K9, membabitkan kawasan belukar dan longkang berhampiran dalam radius kira-kira 300 meter.

Dia kemudian ditemui tidak bernyawa sehari kemudian di kawasan anak sungai, berhampiran kediamannya.

Menurut kenyataan polis, sungai berkenaan terletak kira-kira 100 meter dari kawasan rumah kanak-kanak itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada sidang media berkata, Zayn Rayyan dipercayai dibunuh di tempat lain, bukan di lokasi mayatnya ditemui.

Susulan penemuan itu, polis giat menjalankan siasatan terperinci bagi memburu suspek menerusi pelbagai kaedah.

Kes terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – 10 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Related