PETALING JAYA – Polis dalam usaha mengumpul bahan bukti daripada perakam video (dashcam) kereta milik penduduk sekitar Apartmen Idaman, Damansara Damai, bagi melengkapkan siasatan kes kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, buat masa ini polis masih menunggu penduduk untuk tampil menyerahkan rakaman berkenaan.
“Kita dah maklum (kepada penduduk) kita masih tunggu kerjasama daripada mereka.
“Saya yakin mereka akan berikan kepada kita.
“(Buat masa ini) saya tak boleh maklumkan lagi (jumlah rakaman dashcam penduduk yang sudah diterima), kalau dapat kita akan sahkan (nanti),” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana orang awam yang didapati menyebarkan sebarang maklumat palsu berkenaan kes tersebut.
“Kita akan buat laporan polis sekiranya benda ini adalah satu yang palsu, mengganggu keselamatan awam dan mencemarkan nama keluarga si mati, kita akan ambil tindakan tegas. Kita memandang serius perkara ini.
“Beri ruang kepada pihak polis untuk lakukan siasatan sehingga tertangkapnya suspek,” katanya.
Fakhrudin turut memuji dan berterima kasih di atas kerjasama yang diberikan penduduk sekitar serta ahli keluarga mangsa sepanjang siasatan dijalankan.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang sejak tengah hari, Selasa lalu, di Damansara Damai dan kali terakhir dilihat di rumahnya di Blok R, Apartment Idaman, Jalan PJU 10/1 Damansara Damai, Petaling Jaya pada pukul 12 tengah hari.
Mayat Zayn Rayyan ditemukan malam Rabu dan disahkan telah dibunuh.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada sidang media malam kelmarin berkata, Zayn Rayyan dipercayai telah dibunuh di tempat lain, bukan di tempat di mana mayatnya ditemui di sungai di Damansara Damai. – 9 Disember, 2023