Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Kediaman ahli keluarga Zayn Rayyan berkunci, ibu bapa mangsa tiada di rumah | Scoop

Kediaman ahli keluarga Zayn Rayyan berkunci, ibu bapa mangsa tiada di rumah

Polis mengesahkan telah memanggil semula ibu dan bapa kepada kanak-kanak itu bagi membantu siasatan berhubung kematian mangsa.

7:07 PM MYT

 

PETALING JAYA — Kediaman ahli keluarga Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, kanak-kanak autisme yang dilaporkan hilang dan disahkan mati dibunuh, kelihatan berkunci rapat manakala ibu bapa mangsa juga tiada di rumah itu.

Tinjauan Scoop di Tingkat 2, Blok R, Apartmen Idaman di Damansara Damai dekat sini mendapati, jiran-jiran juga tidak mengetahui keberadaan ibu bapa mangsa.

Seorang jiran yang enggan dikenali memberitahu, mereka difahamkan ibu bapa mangsa tidak pulang ke rumah sejak semalam.

“Mungkin mereka menetap sementara di rumah ahli keluarga yang lain buat masa ini,” katanya.

Awal hari ini, polis mengesahkan telah memanggil semula ibu dan bapa kepada kanak-kanak itu bagi membantu siasatan berhubung kematian mangsa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Fakhrudin Abdul Hamid dilaporkan berkata, ia dilakukan malam tadi dan pasangan itu mungkin akan dipanggil sekali lagi.

Menurutnya, polis juga akan merekod keterangan jiran dan saksi dalam tempoh terdekat bagi melengkapkan siasatan.

Pada sidang akhbar malam tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu dipercayai telah dibunuh di tempat lain, bukan di tempat di mana mayatnya ditemukan di sungai di Damansara Damai.

Malah katanya, punca kematian kanak-kanak autisme itu bukan kerana lemas sebaliknya mangsa telah meninggal dunia dalam tempoh 48 jam.

Semalam polis mengklasifikasikan kematian Zayn Rayyan sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkannya susulan penemuan kesan kecederaan di leher dan badan.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang sejak tengah hari, Selasa lalu, di Damansara Damai dan kali terakhir dilihat di rumahnya di Blok R, Apartment Idaman, Jalan PJU 10/1 Damansara Damai, Petaling Jaya pada pukul 12 tengah hari.

Dalam pada itu, seorang jiran yang menetap selang beberapa rumah dengan mangsa, Rashidah Rajali, 35, berkata, insiden tragik melibatkan kanak-kanak itu benar-benar meruntun jiwanya yang sudah menetap di situ sejak 10 tahun lalu.

Mengakui tidak berapa mengenali keluarga mangsa, Rashidah berkata, dia sering bertembung dengan arwah dan ibunya ketika sama-sama mahu menghantar anak masing-masing ke sekolah.

Rashidah Rajali berkata kejadian yang menimpa Zayn Rayyan telah meruntun hati penduduk di kawasan sekitar. – Azim Rahman/Scoop, 8 Disember, 2023

“Saya tidak berapa mengenali keluarga mangsa tetapi kalau kami bertembung setiap pagi nak hantar anak ke sekolah, masing-masing pasti akan bertukar senyuman.

“Daripada pemerhatian saya, arwah memang nampak baik dan tertib budaknya.

“Memang terkejutlah bila dengar berita macam ni sebab sepanjang 10 tahun saya menetap di sini, ini pertama kali ada kes bunuh,” katanya.

Dalam pada itu, Penyelia Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartmen Idaman, Nor Hizam Hidir pula berkata, tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang menghala ke arah belukar di belakang apartmen tersebut, lokasi mayat kanak-kanak itu ditemukan, sejak kawasan perumahan itu mula dibangunkan 23 tahun lalu.

“Kita tidak mempunyai sebarang CCTV rasmi dipasang di sekitar kawasan perumahan ini kecuali di empat tempat ini sahaja iaitu di laluan keluar, di blok J bagi pemantauan laluan masuk, kawasan surau serta dewan.

“Seperti yang semua sedia maklum ini merupakan apartmen kos rendah jadi kadar kos penyelenggaran dikenakan hanya RM33 sebulan.

“Cumanya ada beberapa penduduk mengambil inisiatif sendiri memasang CCTV di kediaman masing-masing bagi tujuan keselamatan,” katanya. – 8 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Related