KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Victor Yong’, 36, bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya menyokong hubungan diplomatik Malaysia dengan Israel.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menerusi satu kenyataan mengesahkan, lelaki terbabit direman selama tiga hari bermula hari ini.
“Permohonan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 8 Disember telah dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru,” katanya.
Menurutnya lagi, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-Undang dan Pendakwaan, Bukit Aman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Pada masa sama, Shuhaily memaklumkan kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Orang ramai turut diingatkan agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan kemudahan aplikasi bagi maksud yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Terdahulu, satu video berdurasi lima minit 33 saat dimuat naik Hananya di aplikasi X, tular di media sosial sejak sejak kelmarin.
Dalam video itu, Hananya menemu bual Victor yang mendakwa dia berasal dari Johor.
Rakaman itu memaparkan pandangan Victor yang menggalakkan Malaysia mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, selain menyentuh sensitiviti umat Islam dengan memetik ayat al-Quran secara salah bagi menjustifikasikan agenda terbabit.
Semalam, seorang lelaki membuat laporan polis berkaitan penularan video individu terbabit yang menggalakkan Kerajaan Malaysia mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel di Balai Polis Dang Wangi di sini.
Syed Muhammad Shafiq Syed Jaafar, 36, tampil membuat laporan sebagai wakil rakyat Malaysia bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu itu yang dilihat sebagai usaha untuk menormalisasikan hubungan diplomatik dengan Israel. – 6 Disember, 2023
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengesahkan, semakan yang dilakukan terhadap klip video tular berkenaan mendapati, ia berlaku pada Disember 2021 tetapi ditimbulkan semula di media sosial.
“Semakan menunjukkan ia (video) daripada YouTube ‘Malaysia And Israel – From Enemies To Allies?’. Berdasarkan carian dalam YouTube video itu adalah pada 17 Disember 2021, bukan 2023. Dua tahun yang lalu, waktu itu saya bukan menteri,” katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), di sini hari ini.
Fahmi berkata, persoalan mengapa tiada tindakan diambil terhadap video tular itu seharusnya ditujukan kepada Menteri Dalam Negeri dan Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu. – 6 Disember, 2023