KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), menawarkan diskaun sehingga 25 peratus kepada penumpang transit aliran ringan (LRT) yang menggunakan perkhidmatan tren itu pada 8 hingga 10 Disember ini ke dan dari Stesen Bukit Jalil.
Menerusi kenyataan di Facebook, tawaran itu diberikan bersempena program Jom Naik Rapid KL ke Bukit Jalil bagi Setahun Bersama Kerajaan Madani.
Katanya, diskaun itu turut ditawarkan kepada penumpang bas transit pantas (BRT) ke dan dari stesen sama.
“Sehubungan dengan program itu, Prasarana akan melaksanakan beberapa insentif bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam untuk ke program terbabit.
“Penumpang akan menikmati diskaun sehingga 25 peratus ke atas penggunaan token dan Touch ‘n Go sahaja, bagi penumpang yang menggunakan perkhidmatan rel serta BRT ke dan dari Stesen LRT Bukit Jalil.
“Sebanyak 10 perkhidmatan bas perantara percuma disediakan ke dan dari Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 hingga 10 Disember ini,” katanya.
Menurut kenyataan syarikat pemilik dan pengendali perkhidmatan rel dan bas terbesar negara itu, diskaun berkenaan tidak termasuk pengguna yang menggunakan pas perjalanan serta kad konsesi sedia ada.
“Prasarana ingin mengingatkan penumpang untuk mematuhi etika penggunaan pengangkutan awam, termasuk larangan makan dan minum di dalam tren serta bas. Penggunaan kad Touch ‘n Go dengan baki sekurang-kurangnya RM10 amatlah digalakkan bagi memudahkan dan melancarkan perjalanan masuk serta keluar stesen.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Untuk makluman lanjut, sila gunakan aplikasi PULSE atau layari media sosial rasmi Rapid KL serta laman web www.myrapid.com.my,” katanya.
Program bakal dianjurkan di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini itu, bermatlamat menyebar luas dan mempromosikan dasar serta inisiatif baharu diperkenalkan kerajaan kepada rakyat.
Ia juga bagi meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju serta matlamat kerajaan, selain membina kepercayaan dan keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.
Penganjurannya turut membabitkan kerjasama strategik pelbagai ke menterian dan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta pemegang taruh.
Malah, program berkenaan memberi fokus kepada tiga komponen, iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan Madani, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat yang menyaksikan ketiga-tiga aspek terbabit, adalah ikhtiar kerajaan dalam memastikan kepentingan rakyat diutamakan selari dengan nilai Malaysia Madani, kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan serta ihsan. – 6 Disember, 2023