KUALA LUMPUR – Konsert Stars On Fire 2023 dibatalkan walaupun mendapat kelulusan kerajaan atas ‘sebab yang tidak dapat dielakkan’ termasuk penjualan tiket yang rendah.
Tiga penganjurnya, Yess Boss, Heart-Art Production dan Dembi Productions bekerjasama untuk membawa bintang Bollywood ke Kuala Lumpur untuk konsert berkenaan.
Terdahulu, penganjur yang merancang konsert itu diadakan pada 1 Disember lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil memutuskan untuk menangguhkannya selepas menerima sambutan kurang memberangsangkan dalam penjualan tiket.
Menurut surat bertarikh 28 November daripada Yess Boss, kepada Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal), konsert itu terpaksa ditangguhkan ke tarikh yang belum ditentukan.
“Kami terpaksa menangguhkan konsert itu kerana penjualan tiket yang tidak memuaskan dan perkara lain yang tidak dapat dielakkan,” kata syarikat itu dalam surat yang dilihat oleh Scoop.
Bagaimanapun pada 30 November lalu, dalam video yang dimuat naik oleh Heart-Art Production, Hrithik berkata, ketika dia tidak sabar untuk kembali ke Malaysia selepas lapan tahun, keputusan telah dibuat untuk membatalkan jelajah itu.
“Memandangkan cabaran semasa dan atas rasa hormat yang mendalam terhadap kesejahteraan rakyat di Malaysia, kami semua membuat keputusan untuk membatalkan jelajah ini. Doa dan ingatan saya bersama anda semua,” kata selebriti antarabangsa itu.
Dalam kapsyen hantaran itu, Heart-Art Production berkata, konsert tersebut dibatalkan atas sebab keadaan yang tidak dijangka.
Malah katanya, pihaknya bekerjasama dengan ejen tiket untuk menyelaraskan proses bayaran balik dan memberikan butiran pasukan sokongan pelanggan yang boleh dihubungi.
Walaupun Heart-Art Production menutup ruangan komen pada hantaran itu, ia tidak menghalang pengguna memberikan reaksi mereka pada hantaran terdahulu Yess Boss berhubung penangguhan itu.
Netizen meluahkan rasa terkilan mereka dengan keputusan itu, kerana ada yang mengadu tidak menerima notis rasmi daripada penganjur memaklumkan perubahan tarikh dan pembatalan konsert.
Pada masa yang sama, Yess Boss turut menyatakan “sebab yang tidak dapat dielakkan” dalam penangguhan konsert komposer India, Karthik Raja yang dijadualkan berlangsung pada 2 Disember di lokasi sama.
Pengumuman itu dibuat pada 17 November lalu. – 5 Disember, 2023