KUALA LUMPUR – Maybank memohon maaf kerana aplikasi MAE bank berkenaan berdepan dengan jumlah pengunjung yang ramai berikutan penebusan bantuan e-wallet RM100 kepada penerima yang layak bermula hari ini.
Bank berkenaan menerusi media sosialnya memaklumkan ia kini sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara berkenaan.
“Kami berdepan dengan jumlah yang tinggi susulan pengkreditan RM100 e-Madani menerusi app MAE dan harap maklum bahawa kami sedang berusaha menyelesaikannya.
“Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku,’’ katanya.
Ia mengakibatkan orang ramai meluahkan kekecewaan dan mempersoalkan bank berkenaan kenapa ia tidak menambah baik sistem beberapa minggu sebelum e-wallet dimasukkan ke akaun penerima yang layak.
Bagaimanapun ada yang bersikap positif dan memaklumkan bahawa bantuan berkenaan disalurkan sehingga Februari 2024, bukan hari ini sahaja.
Sementara itu, selepas sejam, Maybank memaklumkan perkhidmatan aplikasi MAE kembali normal dan orang ramai boleh menebus RM100 eMadani.
#MBBAlert Dear Valued Customers,
— Maybank (@MyMaybank) December 4, 2023
The eMADANI service on our MAE app is working as normal. You can now resume your claim for the RM100 eMADANI credit.
Thank you for your patience.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lepas telah mengumumkan bahawa bantuan e-wallet RM100 akan dikreditkan kepada semua rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas.
Bantuan e-wallet RM100 merupakan inisiatif terbaharu yang diumumkan kerajaan bagi golongan B40 dan M40 yang berpendapatan RM100,000 ke bawah.
Ia disalurkan antara 4 Disember sehingga 20 Februari 2024.
Manakala Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong pula dilaporkan berkata, inisiatif bantuan berkenaan bukan sahaja memberi impak kepada isi rumah penerima tetapi juga pasaran tempatan terutamanya kepada peniaga kecil dan penjaja.
“Kerajaan beri RM100 selama setahun kepada keluarga di bawah STR setiap bulan, selain STR, bantuan wang tunai secara langsung turut diberikan, ia terus kepada golongan sasaran. Justeru, mereka boleh menggunakan duit itu untuk membeli barang keperluan. ‘This is what we called direct cash transfer’,” katanya. – 4 Disember, 2024