KUALA LUMPUR – Dakwaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof kononnya 10 Ahli Parlimen kerajaan akan menyokong Perikatan Nasional (PN) hanyalah sekadar propaganda dan omongan kosong bagi mengeruhkan kestabilan politik di negara ini.
Penganalisis politik, Profesor Ahmad Martadha Mohamed berpendapat, dakwaan itu mungkin timbul kerana kecewa dengan tindakan lima Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pada pendapat saya, perkara ini lebih kepada propaganda pembangkang kerana mereka rasa tidak puas hati ada lima ahli Bersatu menyatakan sokongan terbuka kepada Kerajaan Perpaduan dan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dakwaan ini adalah satu cara untuk menimbulkan ketidakstabilan politik serta mengeruhkan keadaan (politik negara). Ia tindakan yang tidak profesional dan tidak menjaga kepentingan rakyat,” katanya kepada Scoop.
Menurutnya, rakyat sudah ‘naik muak’ dengan ‘drama’ ditimbulkan ahli politik sejak kebelakangan ini.
Sebaliknya, beliau berkata, rakyat hanya mahukan pemimpin yang dapat menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara, bukannya drama tukar kerajaan.
“Bagi saya (hal) ini tidak sihatlah. Cakap-cakap berkaitan usaha menukar kerajaan ini hanya akan menjejaskan lagi kestabilan negara, merugikan negara dan menaikkan lagi kemarahan rakyat.
“Rakyat sudah tidak mahu lagi mengharungi episod seperti sebelum ini (pertukaran kerajaan pintu belakang)… yang ruginya rakyat, ahli politik tetap dapat elaun mereka,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, tiada keperluan untuk Ahli Parlimen kerajaan menyokong pembangkang kerana tindakan lima wakil rakyat Bersatu sudah membuktikan sebaliknya.
Malah katanya, dakwaan tersebut juga merupakan propaganda yang dimainkan PN pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.
“Ia lebih kepada satu propaganda untuk PRK Kemaman kerana naratif dibawa (pembangkang) semasa PRK itu, bahawa PN masih ada peluang untuk membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan. Bagi saya ia lebih kepada propaganda pembangkang untuk menang undi di sana,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan lima Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan terbuka kepada kepimpinan Anwar adalah satu langkah terbaik bagi penduduk di kawasan diwakili mereka.
“Mereka (lima Ahli Parlimen Bersatu) mungkin sudah fed up (kecewa) bila pucuk pimpinan parti enggan berunding dengan Kerajaan Perpaduan. Apabila nak dapatkan bantuan mereka dihalang, jadi mereka ambil inisiatif sendiri untuk berunding dan atas faktor itu mereka menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
“Dari segi teknikal mereka tidak keluar parti, cuma mereka sokong Perdana Menteri. (Ia) memang ada kaitan dengan peruntukan. Peruntukan itu sudah dijanjikan oleh Perdana Menteri untuk agihkan kepada pembangkang (sekiranya mereka berunding),” katanya.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menjadi wakil rakyat kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – 4 Disember, 2023