KUALA LUMPUR – Tiada keperluan menubuhkan pusat pemulihan bagi golongan lesbian, gay, transgender dan biseksual (LGBT) di negeri lain jika ia kes terpencil kerana kos pembinaannya memerlukan perbelanjaan besar.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pembinaan pusat tersebut di negeri lain juga tidak berbaloi sekiranya pesakit hanya sebilangan kecil sahaja.
Bagaimanapun katanya, jika ada keperluan, negeri lain bolehlah mengikut langkah Johor menubuhkan pusat pemulihan bagi menangani isu akidah terpesong serta individu yang mengamalkan hubungan sesama jantina itu.
“Mungkin di negeri tertentu aktiviti LGBT tidak menjadi fenomena yang membimbangkan, hanya kes terpencil sahaja, maka dalam situasi sedemikian tidak memerlukan ditubuh sebuah pusat pemulihan.
“Ia hanya dirawat secara individu sahaja. Lagipun untuk menubuhkan pusat seperti itu memerlukan perbelanjaan yang besar. Jika pesakit hanya segelintir sahaja tentulah tidak berbaloi,” katanya kepada Scoop.
Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan kerajaan Johor untuk menubuhkan pusat pemulihan akidah dan seks sejenis (LGBT) yang dijangka beroperasi pada Julai tahun depan dengan kos sebanyak RM400,000.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pusat pemulihan bagi golongan itu adalah pertama kali diwujudkan di Malaysia.
Mengulas lanjut Wan Salim berkata pada prinsipnya cadangan negeri Johor untuk menubuhkan pusat pemulihan golongan LGBT adalah langkah yang baik dan perlu disokong.
Namun katanya, usaha memperbaiki ‘penyelewengan’ akhlak sebenarnya banyak bergantung kepada diri individu itu sendiri.
Justeru katanya, kerajaan atau mana-mana pertubuhan yang ingin membantu hanyalah bertindak sebagai pembuka jalan atau saluran bagi membawa seseorang itu kembali ke landasan akidah yang sebenar.
“Dalam al-Quran ditegaskan bahawa tiada paksaan dalam menganut agama Islam. Sebabnya beragama secara terpaksa hanya melahirkan golongan munafik yang berpura-pura menjadi Muslim di hadapan khalayak, tetapi tiada keyakinan di dalam hatinya terhadap kebenaran agama Islam.
“Begitu juga jika seseorang yang dipaksa memasuki pusat pemulihan tidak akan berusaha dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mengubah keadaan dirinya yang menyeleweng daripada jalan kebenaran dan menjadi seorang yang baik,” katanya.
Wan Salim berkata, pada prinsipnya, cadangan kerajaan Johor itu langkah yang baik dan perlu disokong, tetapi keberkesanan idea tersebut diterjemahkan secara realiti dalam kehidupan memerlukan pendekatan komprehensif.
“Ia perlu melibatkan kerjasama semua pihak termasuk golongan pakar dalam pelbagai bidang seperti psikologi, sosiologi, media, agama dan pendidikan. Namun, sebagaimana yang sering dikatakan pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan.
“Justeru pihak sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), badan bukan kerajaan (NGO), media, agamawan dan pihak lain hendaklah berganding bahu menjelaskan kepada masyarakat terutama generasi muda mengenai keburukan penyelewengan seksual ini,” katanya.
Pada masa sama, Wan Salim turut menegur sesetengah pihak yang menyukarkan proses perkahwinan kerana ia menjadi antara penyumbang berleluasanya gejala LGBT ketika ini.
“Permudahkanlah perkahwinan antara lelaki dan perempuan. Ini amat penting, sebab bila pintu yang halal (perkahwinan) ditutup dengan menyukarkan pelaksanaannya, maka ia bererti kita membuka pintu bagi perbuatan yang haram seperti fenomena LGBT,” katanya. – 4 Disember, 2023