GAZA – Lebih 30 terbunuh ketika Israel melancarkan serangan udara di bandar selatan Khan Younis dan Rafah, pagi tadi.
Menurut wartawan Al Jazeera, sehingga malam tadi, serangan udara yang berterusan memusnahkan sebahagian besar timur Khan Younis dengan penduduk diarah untuk berpindah ke sebelah barat bandar Gaza atau ke bandar Rafah.
“Tetapi apabila orang ramai mula melarikan diri ke sana [Rafah], mereka diserang, mengesahkan fakta bahawa tiada tempat selamat di Gaza,” katanya yang membuat liputan di kawasan terbabit.
Katanya, ratusan penduduk masih terkandas di Khan Younis kerana jalan utama menuju ke bahagian lain di bandar itu atau lebih jauh ke selatan sudah musnah atau rosak teruk.
Hani berkata, di bahagian utara Gaza pula, pasukan penyelamat mengeluarkan sekurang-kurangnya 10 mayat dari bawah runtuhan dalam kebakaran yang memusnahkan 50 kediaman.
Dalam pada itu, seorang pegawai Israel mengesahkan rancangan untuk mewujudkan zon penampan di sempadan Gaza selepas tamat perang untuk mengelak serangan masa depan.
Israeli warplanes launch intense airstrikes on Khan Yunis, deploying large firebelts, indicating potential preparations for a ground assault in the southern #Gaza Strip.#StopGazaGenocide pic.twitter.com/2J1EJeky7e
— Wafa News Agency – English (@WAFANewsEnglish) December 2, 2023
“Israel mahu zon penampan antara Gaza, dari utara ke selatan untuk menghalang mana-mana anggota Hamas atau pejuang lain daripada menyusup atau menyerang Israel,” kata seorang pegawai Israel yang enggan dikenali.
Inisiatif itu bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang tanda penamatan perang oleh Israel, sebaliknya dilihat sebagai usaha melangkaui pengantara Arab yang sudah ditetapkan, seperti Mesir atau Qatar, untuk melakar sempadan pasca perang Gaza.
Negara-negara Arab sebelum ini menolak matlamat Israel yang mustahil untuk menghapuskan Hamas, dengan mengatakan ia bukan sekadar pasukan pejuang untuk wang.
Malah, negara Arab dan Amerika Syarikat (AS) sudah menegaskan bahawa Gaza, kawasan sepanjang kira-kira 40 kilometer (km) dan antara 5km hingga 12km lebar menempatkan 2.3 juta penduduk, tidak boleh dikecilkan lagi. – Agensi