KUALA LUMPUR – Kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman dengan majoriti lebih besar berbanding ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), memberi isyarat supaya Umno dan Barisan Nasional (BN) muhasabah dan memperkukuh kembali sokongan akar umbi, terutama golongan muda.
Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kekalahan itu juga memerlukan Umno menyedari bahawa sokongan Melayu di Kemaman masih tidak berubah untuk tetap memilih PAS.
“Jadi Umno Terengganu kena muhasabah dan perlu kembali menguatkan sokongan akar umbi dan rakyat Terengganu, khususnya di Kemaman kepada parti itu.
“Guna kesempatan dalam Kerajaan Perpaduan untuk cari jalan memperkuatkan sokongan orang Melayu,” katanya kepada Scoop.
Beliau berkata, sentimen isu DAP dan ancaman kepada orang Melayu yang masih dimainkan pihak lawan juga, antara faktor membuatkan orang Melayu Terengganu takut serta tidak yakin dengan penyampaian kerajaan.
“Kalau kerajaan dapat buat dasar lebih memanfaatkan orang Melayu, mereka ini (pengundi Melayu) rasional dan akan lihat perubahan itu.
“Dulu Umno kuat di Kemaman, namun bila lihat majoriti besar ini, orang Umno pun tidak menyokong parti sendiri. Jadi mereka (Umno Terengganu) perlu cari jalan tarik kembali sokongan orang Umno, terutama golongan muda.
“Sudah masa untuk bagi peluang kepada orang muda bergerak aktif di sana, menyuarakan hal berkait kepentingan orang Melayu,” katanya.
PRK Kemaman semalam, menyaksikan calon PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti 37,220 selepas mendapat 64,998 undi, manakala lawannya, calon BN, Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memperoleh 25,023 undi.
Majoriti diperoleh Menteri Besar Terengganu itu melebihi 10,041 undi berbanding penyandang sebelum ini yang juga daripada PAS, Che Alias Hamid yang meraih majoriti sebanyak 27,179 undi pada PRU-15.
Penganalisis politik, Profesor Madya Mazlan Ali pula berkata, Umno dan BN perlu menerima hakikat bahawa mereka gagal dalam segmen orang muda.
“Kena remajakan Umno, lihat kembali program Umno supaya lebih dekat dengan orang muda, perkasa media sosial,
“Mereka perlu kerja keras kembalikan keyakinan orang Terengganu, khususnya orang muda yang besar jumlah undinya, malah kepimpinan Umno perlu muka baharu,” katanya memberi tips strategi harus dilakukan untuk memperkukuh parti berkenaan.
Beliau berkata, parti di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) yang membawa naratif Melayu Islam dan mewakili ummah itu, masih menjadi pilihan bagi negeri dengan majoriti Melayu.
“Umno sudah bergabung dengan Pakatan Harapan (PH), maka elemen DAP itu bila di bawa dalam kempen, ia mempengaruhi orang Melayu.
“Ia juga menunjukkan keberkesanan strategi PAS meletakkan Ahmad Samsuri, seorang Menteri Besar dengan rekod perkhidmatan bagus.
“Naratif dibawa PAS iaitu Ahmad Samsuri sebagai bakal Perdana Menteri berkesan, orang Kemaman percaya dan mengharapkan beliau yang juga anak Terengganu menjadi Perdana Menteri dan bakal ‘poster boy’ bagi pilihan raya umum seterusnya,” katanya.
Sementara itu Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata, aura Ahmad Samsuri sebagai Menteri Besar menyebabkan PAS menerima pertambahan majoriti dengan begitu banyak.
Jelasnya, walaupun calon diletakkan Umno itu tidak terkait politik parti berkenaan dan dipilih dalam kalangan profesional, hakikatnya lambang Umno dan BN dibawanya menyebabkan pengundi Kemaman melihatnya mempunyai kaitan.
“Yang tidak memeranjatkan adalah PAS kekal status quo, yang memeranjatkan adalah dengan majoriti lebih banyak.
“Maksudnya walaupun calon itu adalah orang profesional dan tidak terkait dengan Umno, contohnya di Kemaman yang menyaksikan calonnya adalah bekas panglima angkatan tentera, besar kemungkinan ia tidak dipedulikan pengundi di Terengganu, Kedah, Kelantan serta Perlis kerana mereka melihatnya tetap mempunyai kaitan dengan parti berkenaan.
“Mengikut teori, (calon Umno) Raja Mohamed Affandi sepatutnya mendapat lebih banyak undi berbanding diterima Umno pada PRU-15, tapi disebabkan faktor Menteri Besar itu sendiri, beliau memperoleh kurang undi,” katanya. – 3 Disember, 2023