KUALA LUMPUR – Remaja lelaki berusia 13 tahun yang juga suspek kes cubaan samun pemandu e-hailing pada Isnin lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah esok.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pertuduhan terhadap remaja yang masih bersekolah itu dibuat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
Menurut beliau, polis telah merujuk kertas siasatan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri dan arahan mendakwa dibenarkan mengikut seksyen terbabit.
Media sebelum ini melaporkan, remaja terbabit bertindak mengacukan pisau terhadap seorang pemandu e-hailing dalam cubaan samun di Taman Keladi dekat Sungai Petani, kira-kira pukul 6 petang, Isnin lalu.
Pemandu e-hailing yang juga warga emas berusia 65 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan sebaliknya bertindak menggigit tangan suspek dan merampas pisau tersebut sebelum remaja terbabit turun dari keretanya dan melarikan diri.
Tindakan remaja terbabit dirakam menerusi kamera ‘dashboard’ yang dipasang pada kereta pemandu e-hailing terbabit dan video berdurasi satu minit 32 saat itu tular di media sosial. – 2 Disember, 2023