Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Dasar Gaji Progresif: Pelaksanaan mampu lonjak pendapatan rakyat, ekonomi negara | Scoop

Dasar Gaji Progresif: Pelaksanaan mampu lonjak pendapatan rakyat, ekonomi negara

Penganalisis ekonomi juga berpendapat, dasar itu satu keperluan kerana gaji pekerja sektor PMKS kebiasaannya tidak setimpal dengan produktiviti mereka

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif yang diluluskan di kelmarin menerima maklum balas positif pelbagai pihak kerana dijangka mampu merapatkan kesenjangan pendapatan.

Malah, ia dianggap dapat melonjakkan produktiviti dan pendapatan negara.

Pakar ekonomi, Profesor Emeritus Barjoyai Bardai berkata, dasar itu adalah langkah baik bagi meningkatkan pendapatan isi rumah serta daya pengeluaran pekerja, terutama dalam industri Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Walaupun negara kita sedikit terbelakang daripada negara maju yang sudah lama perkenalkan Dasar Gaji Progresif, langkah kerajaan ini wajar dipuji kerana ia dapat meningkatkan pendapatan pekerja serta menaikkan lagi produktiviti mereka.  

“Hal ini secara tidak langsung akan meningkatkan kesejahteraan keluarga (dengan kenaikan gaji),” katanya kepada Scoop.

Barjoyai Bardai percaya, Dasar Gaji Progresif mampu meningkatkan pendapatan isi rumah serta daya pengeluaran pekerja, terutama dalam industri Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana – Gambar dari UKM, 2 Disember, 2023

Barjoyai berkata, walaupun pada permulaan dasar ini, kerajaan perlu mengeluarkan subsidi bagi memberikan suntikan kepada majikan bagi tujuan terbabit, akhirnya ia memberikan pulangan positif kepada pendapatan negara.

“Kalau kita lihat dalam jangka masa pendek, kerajaan beri subsidi untuk majikan membayar gaji, namun bila kita lihat jangka masa panjang, dasar gaji ini akan beri pulangan untuk ekonomi negara sebab pelaksanaannya memberikan ‘multiple effect’ (kesan pelbagai).

“Sebagai contoh, pekerja bila dapat kenaikan gaji, mereka (boleh) berbelanja ekstra, sementara majikan pula akan beri lebih lagi (gaji) selepas melihat produktiviti kilang meningkat,” katanya.

Senada dengan Barjoyai, Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff yang berpendapat, dasar itu wajar dilaksanakan secepat mungkin bagi kebaikan semua pihak.

“Kalau tengok pada situasi semasa, negara kita sebenarnya sedikit lambat aplikasikan dasar ini jika dibandingkan dengan negara lain.  Jadi ia adalah satu keperluan sebab gaji pekerja dari sektor PMKS kebiasaannya tidak setimpal dengan produktiviti mereka.

“Mereka antara golongan paling terkesan dan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif ini sudah tentunya memberi langkah positif dalam kenaikan pendapatan.

“Bila pekerja tingkatkan produktiviti, majikan juga akan dapat tempias apabila boleh menambah pendapatan perniagaan dan ia sekali gus, membolehkan majikan membayar gaji tinggi kepada pekerja selari kualiti produktiviti masing-masing,” katanya.

Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, dasar itu wajar dilaksanakan secepat mungkin bagi kebaikan semua pihak – Gambar media sosial, 2 Disember, 2023

Dasar Gaji Progresif diperkenalkan untuk menaikkan siling gaji melalui panduan gaji permulaan.

Pelaksanaannya dibuat mengikut jawatan dan kenaikan gaji tahunan secara progresif yang akan mengurangkan jurang gaji.

Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif itu telah dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada 30 November lalu, dalam usaha memastikan pekerja mendapat gaji lebih tinggi seiring peningkatan produktiviti.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika membentangkan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif di Parlimen pada 30 November lalu. – Gambar Jabatan Penerangan, 2 Disember, 2023

Menerusi dasar itu, ia menampilkan tiga ciri asas, iaitu pelaksanaan secara sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti.

Bakal dimulakan dengan projek rintis pada suku ketiga 2024, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif akan menyaksikan penilaian impak untuk menilai keberkesanan dan ketersediaannya, sebelum dilaksanakan menyeluruh. – 2 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Related